Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meminta masyarakat supaya tidak menjatuhkan sendiri hukuman terhadap individu yang masih disiasat pihak berkuasa.

Katanya, individu berkenaan belum dibuktikan bersalah menerusi proses perbicaraan di mahkamah.

Beliau berkata, ahli masyarakat juga tidak sepatutnya mengaibkan seseorang itu di media sosial atau media arus perdana dengan pelbagai cara termasuk menghina atau memberi komen tidak wajar.

“Saya konsisten siapa yang bersalah tetap bersalah tetapi perlu berhadapan dengan proses kehakiman terlebih dahulu dalam mencari kebenaran.

“Dalam kita nak siasat, jangan ada pemimpin kita yang diaibkan. Saya merayu, jangan kita hukum sebelum selesai siasatan mencari kebenaran,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Pusat Dakwah Islamiah Paroi.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan mengulas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Pengerusi FELDA yang juga Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Isa Samad.

Pagi tadi Isa dibebaskan selepas direman lima hari sejak Rabu lalu, bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London antara 2014 dan 2015. – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here