Pusat pendidikan

Institusi Pendidikan Tahfiz dan Pengajian Pondok merupakan ruang terpenting dalam mengukuhkan pembelajaran agama Islam di Malaysia. Peranan kedua-dua institusi ini sebenarnya amat besar dalam meningkatkan jumlah modal insan berkualiti dalam negara. Di negara ini bilangan Pusat Tahfiz dan Pengajian Pondok meningkat saban tahun dan jumlah pelajar yang mengikuti sistem pendidikan ini juga semakin ramai. Sambutan mengalakkan ini juga didorong dengan sikap positif sesetengah individu berkemampuan untuk menjadi penaung dan membuka pusat-pusat pendidikan Islam seperti ini.

Walaupun segala-gala hal ini dilihat sebagai positif dan amat diperlukan, namun beberapa hal penting dalam pengurusan pusat pendidikan ini dilihat berada dalam keadaan terabai. Aspek terpenting sudah tentu isu keselamatan bangunan atau premis tempat pusat pendidikan ini beroperasi. Kebanyakan pusat pendidikan ini memiliki premis yang tidak selamat untuk didiami, malah ada yang beroperasi tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa keselamatan bangunan seperti Bomba. Sijil Layak Menduduki juga tidak diperoleh, malah ada dalam kalangan pusat seperti ini tidak mempunyai kelulusan pelan dari pihak berkuasa.

Keadaan ini sebenarnya amat menggusarkan kerana berdasarkan kepada statistik rasmi kes kejadian melibatkan kebakaran dalam kalangan pusat pendidikan Tahfiz dan pengajian pondok antara tahun 2015 hingga 2017 ialah 221 kes. Ini merupakan satu angka yang membimbangkan dan dalam 221 kes yang terjadi, nampaknya tiada sebarang tindakan drastik diambil untuk berubah ke arah lebih positif. Malah ketika tragedi kebakaran Pondok Pak Ya di Kedah berlaku pada tahun 1989 sehingga mengorbank 27 nyawa, Kerajaan pada ketika itu telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes berkenaan.

Selepas selesai RCI menjalankan siasatan dan laporan serta syor dikeluarkan, tiada sebarang usaha konkrit diambil oleh mana-mana pihak untuk melaksanakan setiap syor berkenaan. Segala-galanya seperti diambil mudah. Soal takdir sememangnya tidak dapat kita halang, namun dalam masa sama agama Islam turut mewajibkan umatnya menjaga keselamatan diri, nyawa dan harta benda. Ini juga satu tuntutan agama yang tidak boleh dipandang rendah.

Semalam kita dikejutkan dengan tragedi kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur. Tragedi menyayat hati ini telah mengorbankan 23 nyawa termasuk dua guru di pusat berkenaan. Berdasarkan kepada maklumat awal bangunan yang diduduki secara sementara itu tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan oleh pihak berkuasa dan melanggar tatacara pengurusan keselamatan bangunan. Dalam hal ini, kita bukan bertujuan untuk mencari kesalahan atau kesilapan sesiapa, tetapi aspek pematuhan tahap keselamatan seperti ini tidak wajar untuk diabaikan.

Selepas tragedi ini, setiap daripada kita wajar mengambil iktibar dan pengajaran. Aspek pengabaian tahap keselamatan bangunan seperti ini perlu dihentikan dan kita perlu mendidik mereka yang berkeinginan atau sedang menguruskan pusat pendidikan Islam seperti agar berusaha kuat untuk meningkatkan tahap keselamatan dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Ini bukan masa untuk kita menyalahkan sesiapa, namun ini renungan paling sesuai untuk kita dalam mengenang segala tindakan wajar yang perlu dilakukan sebelum bersedia menjalankan operasi pusat pendidikan seperti ini. Hal keselamatan ini bukan hanya terkait kepada pusat Tahfiz dan pengajian pondok sahaja, tetapi mana-mana sahaja bangunan yang melibatkan kepentingan awam wajar dilihat semula.

Cukuplah segala-gala yang berlaku hari ini, kita tidak mahu lagi melihat peristiwa malang ini melanda negara lagi. Setiap daripada kita wajar memainkan peranan untuk memastikan keselamatan nyawa anak-anak dan pewaris negara ini terpelihara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here