Semangat persaudaraan, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini perlu sentiasa dipelihara dan diperkukuhkan, kata Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata, ini amat penting kerana mengekalkan keharmonian dan perpaduan adalah tanggungjawab bersama dan manfaatnya akan dinikmati semua lapisan masyarakat.

“Saya percaya keharmonian masyarakat majmuk ini juga akan menyumbang kepada kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial, seperti yang kita kecapi hari ini.

“Ia membolehkan kerajaan meneruskan perancangan dan memperhebatkan lagi usaha pembangunan, memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar dan program pembangunan untuk meningkatkan kesejahteraan umat Islam dan rakyat pada keseluruhannya,” katanya pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Sandakan hari ini.

Pada sambutan itu, Musa turut menyertai perarakan dari kawasan Pasar Sim-Sim hingga ke Masjid Daerah Sandakan yang disertai 50 kontinjen pelbagai agensi dan persatuan.

Musa berkata, hari ini umat Islam berdepan pelbagai cabaran, antaranya perpecahan dan persengketaan sesama sendiri, yang menjadikan umat Islam lemah dan mudah dieksploitasi untuk kepentingan pihak tertentu.

“Kita tidak lagi menghayati semangat ukhuwah dan persaudaraan, sebaliknya lebih suka menabur kebencian, fitnah dan permusuhan.

“Untuk itu, harus kita sedar dan insafi, serta mengambil iktibar daripada krisis dan pergolakan yang berlaku di beberapa negara Islam. Ia perlu menjadi pengajaran berguna kepada kita agar tidak mengabaikan kepentingan nilai ukhuwah dan perpaduan ummah,” katanya.

Justeru, beliau mengajak umat Islam memantapkan ukhuwah dan mengukuhkan silaturahim sesama umat Islam kerana hanya dengan kesatuan dan perpaduan jitu, umat Islam akan menjadi umat cemerlang dan dihormati.

“Marilah kita mengambil iktibar daripada sambutan Maulidur Rasul ini dengan kembali menghayati ajaran Islam dan mencontohi keperibadian, semangat dan daya juang serta akhlak Nabi Muhammad, seterusnya mengukuhkan lagi kesatuan dan kekuatan demi memartabatkan kejayaan umat Islam dalam pelbagai bidang,” katanya.

Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan anugerah tokoh Maulidur Rasul peringkat daerah Sandakan kepada Penolong Kanan Pengarah Kastam Sandakan, Otoh Sibik Sahar, 59, dan Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah Bahagian Sandakan, Roziah Hussain, 53, yang juga seorang guru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here