Pemimpin Umno Datuk Seri Jamal Yunos didapati hilang dari Pusat Perubatan Ampang Puteri beberapa jam selepas dia didakwa di situ atas 3 pertuduhan hari ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berkata, Jamal, 48, yang sedang dirawat di wad premier hospital swasta itu bagi masalah sakit belakang meninggalkan kawasan hospital sementara proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang berjalan petang tadi.

Majistret menawarkan ikat jamin RM3,000 untuk setiap kes.

“Dia ingat dia sudah dibebaskan selepas ikat jamin, tapi sebenarnya belum lagi, perlu tandatangan borang itu dan ini. Tetapi kita akan hubungi dia semula. Ia sebenarnya berkaitan isu teknikal,” kata Ketua JSJ Selangor, Fadzil Ahmat.

Jamal didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di pintu pagar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor pada Oktober tahun lepas sebagai simbolik bantahan terhadap penganjuran pesta arak.

Pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan.

Beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin daripada Mahkamah Majistret Shah Alam.

Mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here