Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini kecoh apabila Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini bertindak memecahkan kira-kira 100 botol arak menggunakan tukul besi.

Tindakan berkenaan dilakukan kira-kira jam 10.15 pagi setelah beliau tiba di hadapan kompleks pentadbiran kerajaan bersama kira-kira 20 orang penyokongnya dengan membawa beberapa peti minuman keras.

Menurutnya, tindakan berkenaan dilakukan sebagai tanda protes dan bantahan terhadap penganjuran pesta arak secara terbuka selain memberi amaran kepada pentadbiran kerajaan negeri agar dibenarkan penganjuran pesta berkenaan di Selangor.

“Ini sebagai bantahan kepada kerajaan negeri agar tidak membenarkan sebarang penganjuran pesta arak besar-besaran secara terbuka di negeri ini yang jelas tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat.

“Kalau nak minum juga, biar (Menteri Besar) Azmin Ali dan kumpulannya termasuk exco beliau minum dan mabuk dalam pejabat, namun jangan sesekali ajak rakyat Selangor ikut sama mabuk berpesta arak.

“Kami tak mahu rakyat ikut sama mabuk, apa punya Menteri Besar yang ajak rakyat mabuk…batalkan terus jangan nak tangguh-tangguh lagi,” katanya.

Jamal kemudiannya memecahkan botol arak yang disusun di hadapan pagar bangunan berkenaan menggunakan tukul besi

Terdahulu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) baru-baru ini membenarkan Festival F&B Jerman yang menjadikan minuman keras sebagai hidangan dan dijangka berlangsung pada 12 dan 13 Oktober ini.

Sebelum itu, Festival Better Beer 2017 yang sepatutnya dijadualkan berlangsung bermula esok di Kuala Lumpur dibatalkan setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan permit penganjuran.

Susulan itu, terdapat spekulasi mengatakan penganjur festival berkenaan membuat permohonan baru melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here