Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu semua atlet negara memberi persembahan terbaik dalam usaha memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan temasya Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan Para Asean ke-9.

Menurutnya, beliau percaya kemampuan setiap atlet, apatah lagi Sukan Sea kali ini diadakan di laman sendiri.

“Ingatlah anda akan bersaing di bumi sendiri, jadi mari berhempas pulas, lakukan yang terbaik bersama-sama rakyat Malaysia yang pasti akan beri sokongan, tidak kira keturunan, bangsa, agama dan budaya.

“Mereka ingin melihat kejayaan setiap atlet, kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah terbaik dan lebih daripada itu muncul sebagai juara temasya ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang KL2017 dan Para Asean 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Najib turut mengingatkan atlet negara doa 30 juta rakyat Malaysia mengiringi perjuangan mereka.

Katanya, tiada perasaan yang lebih manis dan boleh pudar daripada ingatan atlet yang akan bertanding apabila memenangi tempat pertama dan dikalungkan pingat emas, serta pada masa sama, lagu Negaraku berkumandang tanda menjuarai acara disertai.

“Sampai anda hembuskan nafas terakhir, ia (kemenangan) tidak akan luput dari ingatan, jadi lakukan yang terbaik,” katanya. – Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here