SETELAH perkahwinan yang dibina bersama Muhammad Riza Baharudin, 32  berakhir hampir setahun lalu, aktres cantik ini mengakui lebih selesa meneruskan kehidupan solonya.

Biarpun sebelum ini dia pernah berasa tertekan kerana statusnya yang bergelar ibu tunggal, tetapi itu semua bukan menjadi penghalang kepada kebahagiaannya kini.

Malah dia bersyukur, walaupun tanpa insan bernama suami di sisi, tetapi dia semakin bahagia bersama anak tercinta, Muhammad Adrian Umar, 2 tahun.

“Alhamdulillah, hidup sendiri bukan bermakna kita tidak bahagia, sebaliknya saya gembira kerana ia menjadikan diri lebih kuat dalam berhadapan cabaran hidup.

“Realitinya, saya tidak mahu mengenang kisah lalu lagi dan biarlah ia menjadi memori sahaja,” kata pelakon yang dikenali sebagai Izreen Azminda ini.

Menurutnya lagi, komitmen hidup juga menjadi lebih mudah apabila hanya perlu memberikan perhatian kepada anak sahaja.

“Buat masa sekarang Andrian menjadi keutamaan saya. Bagi saya apa yang dilalui sekarang adalah lebih baik.

“Yang penting, saya telah bangkit dan terus mengorak langkah demi masa depan sendiri dan juga anak. Bahkan saya tidak pernah merasa terbeban membesarkan anak saya sendiri,” ujar bintang drama bersiri popular Eksperimen Cinta ini.

Berkongsi lanjut perasaannya, kata Izreen, jauh di sudut hatinya, dia tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti dalam masa terdekat.

“Sehingga kini saya lebih selesa solo. Lagipun saya belum bersedia untuk memberikan komitmen kepada hubungan baru kini,” katanya mahu mencari pasangan hidup yang benar-benar sesuai dan ikhlas menerima dirinya dan juga Andrian.

Pelakon berusia 30 tahun ini memberitahu, dia bagaimanapun tidak menolak sekiranya jodohnya datang tiba-tiba.

“Siapalah saya hendak menolak ketentuan Tuhan, apa pun, doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.

Dalam pada itu, bercerita hubungannya bersama bekas suami, jelas pelakon yang popular menerusi drama bersiri Kerana Terpaksa Aku Relakan ini, mereka berkawan baik kini demi Adrian.

“Tidak lebih daripada itu, malah kami juga tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk kembali bersama sebagai suami isteri,” katanya.

Dikelilingi aktor popular

Personalitinya yang ramah dan mudah mesra juga membuatkan Izreen sering dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan aktor popular tempatan.

Ia termasuklah Johan Asaari, Amar Baharin dan Fahrin Ahmad.

Bagaimanapun, ia sekadar cerita kosong apabila dia dan pelakon berkenaan hanya berkawan baik kerana terlibat menerusi penggambaran drama sahaja.

“Waktu itu ramai yang membuat andaian mengenai kami, sebaliknya Fahrin sendiri sudah pun mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati.

“Manakala Johan dan Amar masih lagi menjadi rakan seperjuangan saya dalam industri,” katanya.

Dikuatkan dengan sikapnya yang gila-gila, ujar Izreen ia juga faktor mengapa mereka senang mendampinginya.

“Sebenarnya bukan lelaki sahaja, tetapi saya juga baik dengan mana-mana aktres lain.

“Mungkin kerana mereka perempuan tidak timbul sebarang gosip, sebaliknya apabila bergambar atau sering kelihatan dengan pelakon lelaki, ada sahaja khabar angin yang akan timbul,” jelasnya kemesraannya bersama pelakon lelaki sekadar menguatkan karakter dalam lakonan.

Rezeki mencurah

Sementara itu Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2013 ini berkata, dia turut bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus malahan semakin mencurah-curah.

“Bukan mudah mahu besarkan anak sendiri, kerana itu saya sentiasa berdoa akan diberikan kerja dan rezeki yang mencukupi.

“Tidak sangka pula, selepas berpisah saya tidak pernah putus tawaran berlakon.

“Sehingga kini ada sahaja tawaran yang diberikan kepada saya,” katanya.

Malah Izreen juga bersikap profesional apabila perlu bekerja di bawah bekas suaminya yang merupakan seorang pengarah.

“Saya tidak pernah ada masalah bekerja dengannya ataupun dengan mana-mana pelakon lelaki yang digosipkan dengan saya.

“Bagi saya hubungan baik dalam industri perlu dijaga supaya tidak mencemarkan imej diri sehingga menjejaskan dan menjatuhkan karier kita sendiri,” akui pengacara Mahligai Cinta ini.

 Sumber: Sinar Harian

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here