SEPERTI yang telah dicanangkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini, seramai kira-kira 30 orang wakil rakyat dan calon-calon prospektif Pakatan harapan (PH) akan mengisytiharkan harta mereka Ahad ini. Kesemua individu ini, dengan sebahagian daripada mereka adalah penyandang, adalah calon yang dibantu Invoke Malaysia, kumpulan penggerak dan penyelidikan pengundi yang diasaskan oleh Ahli Parlimen Pandan itu dalam menghadapi PRU yang akan datang.

Setuju atau tidak, langkah yang diambil Rafizi dan ahli-ahli politik PH yang terlibat itu adalah satu amalan biasa yang boleh dilihat dan diperhatikan di beberapa negara maju dan membangun. Walaupun inisiatif yang diambil Rafizi ini bukanlah satu keputusan yang dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), sekaligus tidak mencerminkan amalan gabungan tersebut, ianya sdikit sebanyak membuatkan rakyat mula tertanya-tanya bagaimana pula dengan wakil rakyat PH yang lain?

“Precedent” Yang Baik

Begitulah juga di pihak BN sendiri. Tindakan Rafizi dalam hal ini seolah-olah telah meletakkan satu dahuluan atau “precedent” yang tidak dapat tidak akan dijadikan satu kayu ukur terhadap sejauh mana berani dan telusnya seseorang ahli politik itu dalam perkara yang melibatkan pengumpulan aset dan harta.

Tentunya, dalam bilangan tokoh dan ahli politik PH yang ramai itu, sebahagian besar rakyat sangat menantikan pengisytiharan harta oleh Pengerusi PH sendiri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Selama lebih kurang 22 tahun memerintah, bukan sedikit bilangan rakyat yang mempersoalkan berapakah nilai sebenar kekayaan yang telah dikumpulkan bekas perdana menteri itu. Kekayaan yang dipersoalkan itu tidak hanya terhad kepada dirinya semata-mata, bahkan soalan serupa turut diutarakan mengenai kekayaan yang dikumpul oleh anak-anaknya dalam tempoh Mahathir menjadi pemimpin nombor satu negara. Kekayaan ini bukanlah kekayaan biasa. Umum menyifatkan kekayaan Mahathir dan anak-anaknya sebagai kekayaan “luar biasa”.

Apa Lagi Yang Nak Dikejar?

Ketika diajukan soalan mengenai pengisytiharan harta oleh Rafizi dan 30 ahli politik PH tersebut, Mahathir berkata bahawa beliau bersedia untuk mengisytiharkan harta namun beliau tidak pasti apakah beliau akan dipilih menjadi calon ada PRU kelak. Jawapan sedemikian memberikan bayangan bahawa Mahathir sememangnya bersedia untuk bertanding pada PRU kelak dalam usianya yang sudahpun mencecah 92 tahun. Menarik juga untuk memikirkan, dalam keadaan ramai rakyat menyangka bahawa beliau tidak akan lagi bertanding, Mahathir tampak seperti tidak mahu berehat. Dalam usia yang sebegitu, boleh dan mampukah beliau memberikan khidmat yang baik kepada rakyat di kawasannya sekiranya menang kelak?

Secara realitinya, Mahathir sudahpun menjawat jawatan nombor satu negara sebelum ini. Bahkan, beliaulah perdana menteri yang paling lama memerintah dan tidak ada seorang perdana menteri pun sebelum ini yang tempoh pemerintahannya menghampiri tempoh pemerintahan Mahathir. Menduduki kerusi perdana menteri untuk satu tempoh yang begitu lama, bukankah Mahathir sudahpun menikmati dan memperolehi segala kelebihan sebagai pemimpin utama negara? Dan atas faktor tersebut juga, mengapa beliau tampak begitu berkehendak kepada kuasa politik? Tidakkah sudah sampai masanya untuk beliau berehat?

Kepentingan Siapa Yang Diperjuangkan?

Persepsi rakyat dalam isu ini tidak dapat dielakkan. Bukan rahsia lagi bahawa politik yang diperjuangkan Mahathir adalah politik masa depan anaknya Datuk Seri Mukhriz dan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dan tentulah dalam mencapai matlamat itu, kepimpinan perdana menteri Dato’ Sri Najib Razak perlu diruntuhkan. Mahathir tidaklah begitu pedulikan sangat tentang perjuangan komponen PH yang lain. Malah, nasib parti PPBM yang diasaskannya secara bersama dengan beberapa tokoh lain juga tampak seperi dibuat endah tak endah. Jika nasib ‘kawan’ sendiri sudah tidak dipeduli, apatah lagi nasib kebanyakan rakyat?

Beri Rakyat Jawapan

Hakikatnya, parti serpihan UMNO itu sendiri sedang bergelut dengan pelbagai masalah dalaman. PPBM di beberapa negeri umpamanya mengalami krisis kepimpinan dan pengurusan yang teruk lantaran tiadanya mesyuarat agung tahunan (AGM) parti biarpun sudah lebih setahun tertubuh. Tidak cukup dengan itu, PPBM itu sendiri kini berdepan risiko pengharaman dan pembatalan pendaftarannya lantaran tindakan melanggar perlembagaan parti sendiri.

Samada PPBM sebagai entiti politik akan diharamkan atau tidak, dan samada Mahathir akan dipilih sebagai calon PH dalam PRU yang akan datang atau tidak, itu sepatutnya tidak dijadikan penentu untuk Mahathir mengisytiharkan hartanya. Dalam rancaknya beliau mengeluarkan dakwaan mengenai rasuah dan ketidakcekapan dalam urus tadbir terhadap kepimpinan Najib, maka Mahathir sendiri sebagai orang yang menuduh, perlu terlebih dahulu membuktikan bahawa diri dan keluarganya adalah ‘bersih’ dari segala kekayaan yang dikumpul secara salah. Secara tidak langsung, ianya akan memberikan kelebihan kepada Mahathir juga kerana setidak-tidaknya beliau dapat memberikan jawapan kepada persoalan besar yang telah lama bersarang di hati rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here