Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melunaskan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan Kelantan bagi Julai dan Ogos.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata bayaran tunggakan gaji itu merupakan komitmen pihaknya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh barisan pemain dan kejurulatihan pasukan Kelantan.

“Pembayaran ini bermakna Kafa sudah melunaskan kesemua tunggakan gaji pemain dan barisan jurulatih Kelantan pada musim ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek kepada pemain pasukan Kelantan pada Isnin.

Bibi Ramjani berkata walaupun jumlah keseluruhan bayaran tunggakan gaji pemain tidak didedahkan namun ianya sudah membuktikan beliau sudah menunaikan janjinya sebelum dilantik sebagai presiden baharu persatuan itu.

Johor Darul Takzim vs Kelantan

“Ianya sudah tentu satu jumlah yang agak besar namun usah kira dari mana sumber kewangan itu di ambil, ini adalah janji saya kepada pemain dan saya mahukan pemain memberikan satu keputusan yang positif pada dua perlawanan terakhir nanti,” katanya.

Kelantan perlu menang dua perlawanan terakhir Liga Super bagi mengelakkan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Kelantan akan bertemu PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini pada Rabu ini manakala menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka 21 Oktober depan.

Mengenai kedudukan Tan  Sri Annuar Musa sebagai penasihat Kafa, Bibi Ramjani berkata sehingga kini pihaknya belum membuat apa-apa keputusan berkaitan kedudukan Annuar yang kini masih menjawat jawatan tersebut.

Ditanya adakah nama The Red Warriors (TRW) akan ditukar dengan nama baharu, beliau berkata ia belum dibincangkan dan jika ada pertukaran akan diumumkan kemudian.

— Bernama

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here