Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneruskan serbuan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki bagaimanapun enggan mendedahkan berapa banyak lokasi yang akan diserbu.

“Itu saya tak boleh kongsi,” katanya selepas Program Gerakan Revolusi Anti Rasuah Di Klangan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Kajang hari ini.

Minggu lalu, SPRM menyerbu beberapa pejabat kerajaan di Komtar dan syarikat berkaitan projek itu, susulan laporan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan pada 17 Julai 2017 dan 5 Januari lalu.

Kelmarin, SPRM berkunjung ke beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk mengambil dokumen bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan berhubung projek itu.

Hari ini, Mahkamah Majistret Putrajaya melanjutkan reman 5 hari ke atas seorang pengarah eksekutif sebuah syarikat dan seorang pengerusi syarikat pembangunan hartanah bagi membantu siasatan projek itu.

Azam berkata, sehingga kini kira-kira 21 orang dipanggil SPRM.

Bagaimanapun, katanya, tiada keperluan untuk memanggil Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng setakat ini.

“Belum lagi setakat ini, biar kita tengok segala bukti yang ada dulu.”

Mengenai dakwaan syarikat berkaitan fesyen turut terbabit dalam projek terowong dasar laut itu, beliau berkata, SPRM akan menyiasat perkara itu.

“Yang itu bagi kami siasat dulu, jadi mana-mana maklumat yang datang dari media kita akan tengok selepas ini,” katanya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan 3 jalan utama, dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang dijadualkan bermula 2023.

Projek itu adalah sebahagian Pelan Induk Pengangkutan (PIP) kerajaan Pulau Pinang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Dalam perkembangan lain, Azam menafikan pegawainya bertanya mengenai kekuatan Parti Warisan Sabah, ketika mereka menyoal siasat Naib Presidennya, Datuk Peter Anthony berhubung pembelian tanah bernilai kira-kira RM155 juta di daerah Tongod.

“Kita menjalankan kerja kita dengan profesional, jadi dalam hal-hal begini, pihak kami tak mahu komen apa-apa.

“Kita fokus dengan kerja kita dan pegawai penyiasat yang profesional. Kalau apa-apa hal berkaitan politik, saya tak nak komen.”

Beliau berkata, SPRM juga giat mengesan lokasi seorang peguam yang disyaki terbabit dalam isu itu, Michael Persius Ubu.

“Tak jumpa. Kita berusaha jejak (dia), ada kemungkinan dia tidak ada lagi di negara ini,” katanya.

Anthony ditahan 5 Januari lalu berhubung pembelian 2 bidang tanah ladang di Tongod, Sabah oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) pada 2014.

Difahamkan, Anthony ada membantu dalam pemeteraian perjanjian itu.

Michael yang merupakan peguam dilantik Risda, bertanggungjawab menguruskan urus niaga pembelian tanah itu menghilangkan diri.

Anthony turut direman 5 hari pada Oktober 2017 oleh SPRM untuk satu lagi siasatan rasuah membabitkan peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM1.5 bilion di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here