Kerajaan Pulau Pinang di bawah teraju Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan dipimpin oleh Setiausaha Agung Parti berkenaan, Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri sering melaung-laungkan slogan integriti dan ketelusan dalam pentadbirannya. Malah Guan Eng dilihat begitu tegas dalam hal-hal ini dan memperkenal tiga tunjang utama Kerajaan negeri Pulau Pinang dikenali sebagai CAT atau competency, accountability, transparency. Namun begitu, prinsip CAT ini kini menjadi bayang-bayang yang menghantui pentadbiran DAP di Pulau Pinang.

Selepas terpalit dengan kes pembelian rumah lebih rendah berbanding harga pasaran, isu kilang haram dan kini hal terbaru yang menimbulkan keraguan terhadap prinsip CAT ini ialah projek pembinaan dasar laut di negeri itu. Amat memeranjatkan apabila kos perundingan untuk kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk tiga terowong yang dicadangkan itu mencecah RM305 juta. Ini merupakan satu angka cukup tinggi dan berdasarkan kepada pengiraan yang dibuat oleh pihak Lembaga Jurutera, kos berkenaan ialah 400 peratus lebih tinggi berbanding harga yang diwartakan.

Satu hal yang lebih mengejutkan ialah apabila Kerajaan negeri Pulau Pinang masih gagal mengemukakan laporan kajian berkenaan kepada pihak Kementerian Kerja Raya untuk penilaian lanjut. Mengikut maklumat terkini kajian berkenaan hanya 87 peratus siap, walaupun projek berkenaan telah ditawarkan sejak April 2013. Laporan berkaitan kajian itu amat diperlukan oleh Kementerian Kerja Raya memandangkan kosnya terlalu tinggi dan pihak Kementerian berminat untuk meneliti kewajaran kos seperti itu.

Berdasarkan kepada keadaan yang berlaku sudah dua kali pihak Kerajaan Negeri gagal mengemukakan laporan seperti diminta dan ini semakin memuncakkan keraguan terhadap projek ini. Apakah ia benar-benar untuk manfaat rakyat atau hanya untuk pihak-pihak tertentu mendapatkan keuntungan? Ini satu hal yang perlu diteliti bagi memastikan wang rakyat tidak dihabiskan kepada projek yang sebenarnya boleh dilaksanakan dengan kos lebih rendah. Sebarang projek pembangunan untuk rakyat wajar disokong dan diberikan perhatian sewajarnya, namun dalam masa sama aspek kos dan penggunaan dana awam dalam projek seperti ini juga perlu diteliti bagi mengelakkan sebarang ketirisan.

Pihak Kerajaan Pulau Pinang seharusnya dapat mengemukakan laporan berkenaan dengan segera bagi memastikan segala-gala perancangan berkaitan projek ini dapat dilaksanakan dengan baik. Sebarang penangguhan lagi akan menyebabkan timbul spekulasi tidak enak. Jika laporan berkenaan masih belum dapat dikemukakan walaupun tempoh sewajarnya sudah diberikan, kemungkinan besar agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memainkan peranan yang bersesuaian.

Bayangkan jika yang bermasalah seperti ini ialah Kerajaan Barisan Nasional, sudah tentu pembangkang akan menyiapkan segala peluru untuk menyerang dan dakwaan tentang korupsi serta kronisme akan kendengaran dilaung-laungkan. Namun, apabila hal seperti ini menimpa pentadbiran Kerajaan dipimpin DAP, maka seluruh anggota parti dan rakan-rakan parti lain langsung tidak bersuara dan memberikan perhatian terhadap isu ini. Lebih RM300 juta wang awam sudah digunakan dan sudah tentu hasil yang berkualiti amat diharapkan. Kita mahu dana awam untuk manfaat semua, bukan manfaat segelintir orang sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here