Aung San Suu Kyi

ANUGERAH Nobel Keamanan adalah penghargaan tertinggi diberikan khusus untuk orang yang memberikan seluruh usaha terbaik demi persaudaraan.

Nilai-nilai perdamaian ini harus tetap dijaga para penerima anugerah Nobel Keamanan termasuk Aung San Suu Kyi hingga akhir hayatnya.

Tetapi kini apa sudah jadi dengan pemimpin demokrasi Myanmar itu?

Suu Kyi seharusnya membuka matanya dan bertindak atas kekejaman yang berterusan terhadap etnik Rohingya di Myanmar yang semakin menjadi-jadi sejak ke­belakangan ini.

Melihat kepada krisis kemanusiaan di sana yang kian buruk, semua masyarakat global perlu mengambil pendirian bersama untuk menghentikan kekejaman pasukan tentera negara berkenaan di Rakhine, yang menempatkan kira-kira sejuta orang Rohingya.

Laporan media menunjukkan, ramai yang telah dibunuh, menjadi pelarian manakala imej satelit yang disiarkan oleh Human Rights Watch mendedahkan beratus-ratus rumah di perkampungan mereka telah dibakar.

Pelarian Rohingya yang berjaya sampai di sempadan Bangladesh mendakwa bahawa tentera Myanmar telah membunuh orang lelaki Rohingya, menembak mereka, menyembelih kanak-kanak, merogol wanita dan membakar rumah serta memaksa mereka melarikan diri dengan menyeberangi sungai ke Bangladesh.

Lebih buruk lagi, bantuan kemanusiaan telah terputus kerana pekerja bantuan tidak dibenarkan langsung masuk ke kawasan yang terjejas.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), lebih daripada 120,000 Rohingya telah melarikan diri dari Rakhine sejak rusuhan berdarah yang berlaku pada 2012, yang mana ramai di antara mereka menempuh laut bergelora untuk ke Malaysia.

Kekejaman itu kini bertukar menjadi tindakan pembersihan etnik minoriti Rohingya oleh tentera Myanmar, setelah beberapa dekad masyarakat itu mengalami pengasingan, penghinaan, gangguan kekerasan, ketakutan dan keganasan.

Menurut Amnesty International, masyarakat Islam Rohingya mengalami pencabulan hak asasi manusia sejak pemerintahan kerajaan junta Burma bermula tahun 1978.

Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan kaum Rohingya yang tinggal di Myanmar sejak beberapa ge­nerasi lalu, telah mengalami diskriminasi dan gangguan kekerasan jauh lebih awal disebabkan oleh ketegangan dengan warga majoriti Buddha di negara berkenaan.

Adalah amat menyedihkan apabila warga Rohingya yang tinggal di Myanmar selama banyak dekad ini masih dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin dan ke­rakyatan mereka dinafikan, malah terdapat undang-undang yang menyekat perkahwinan dan sijil kelahiran tidak dikeluarkan untuk anak-anak mereka.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana daifnya keadaan hidup mereka di sana dengan kanak-kanak tidak mempunyai akses kepada pendidikan yang sempurna.

Kini, dunia semakin bingung dengan sikap Suu Kyi yang membisu mengenai krisis kemanusiaan di negara itu.

Kegagalan Suu Kyi, yang juga seorang ikon hak asasi manusia dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan yang terkenal untuk melindungi masyarakat Rohingya daripada keganasan tentera, dilihat makin hilang oleh sesetengah pihak malah kini sebagai tindakan menghalalkan pembunuhan beramai-ramai.

Ini juga mungkin kerana beliau tidak bersedia atau tidak dapat mengawal tentera Myanmar.

Sebagai juara hak asasi manusia, Suu Kyi mesti membuktikan bahawa beliau adalah juara untuk semua lapisan manusia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan latar belakang selain bukan sekadar menayangkan ilusi juara hak asasi untuk kaum yang beliau suka sahaja, atau kelompok yang memberi kelebihan sekali gus kemudahan politik untuk dirinya sahaja.

Apakah yang bermain di minda Suu Kyi sehingga sanggup membiarkan tentera Myanmar melakukan sesuka hati mereka terhadap penduduk Rohingya?

Apakah matlamat dan tujuan tentera Myammar melakukan kekejaman melampau terhadap etnik Rohingya yang tidak berdosa itu?

Sebagai seorang pejuang keamanan, Suu Kyi seharusnya memainkan peranannya memperjuangkan hak etnik Rohingya sebagai salah satu warga negara Myanmar yang sepatutnya diiktiraf.

Sebaliknya beliau langsung tidak membantu menyelesaikan isu tersebut dan hanya sekadar melihat malah mendengar sahaja kekejaman yang berlaku.

Sekiranya Suu Kyi tidak mampu melakukan apa-apa walaupun pernah memenangi Hadiah Nobel bagi Keamanan, beliau seharusnya memulangkan kembali hadiah itu.

Mahukah Suu Kyi berbuat demikian?

Dunia kini menentang Suu Kyi dan mendesak beliau bertindak bagi membela etnik Rohingya di Myanmar.

Jika tidak mampu, tidak ada guna beliau menyimpan hadiah nobel berkenaan.

Adalah diharapkan negara-negara ASEAN terutama Malaysia bangkit dan menyuarakan isu ini dengan lantang di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan harapan penderitaan kaum Rohingya akhirnya berjaya ditamatkan.

Jangan diharap lagi pada Suu Kyi kerana beliau bukan lagi pejuang keamanan.

Dia petualang keamanan yang tidak ada belas kepada kaum yang ditindas!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here