Isu Rohingya

TRAGEDI kemanusiaan terus menimpa etnik Rohingya di Myanmar ketika umat Islam di Malaysia dan negara-negara lain menikmati kehidupan yang aman dan harmoni.

Harapan dunia untuk melihat kezaliman ke atas etnik tersebut berakhir selepas ia reda seketika, tidak kesampaian.

Sejak dua bulan lalu, ketegangan tercetus dengan ramai penduduk Rohingya menjadi mangsa keganasan tentera dan puak ekstremis Buddha.

Lebih mengejutkan, sebanyak 400 pejuang Rohingya terbunuh di barat laut Myanmar untuk tempoh seminggu lalu bermula 25 Ogos yang disifatkan insiden terburuk pernah berlaku.

Cukup menyedihkan melihat gambar berpuluh-puluh mayat mangsa terapung di pinggir sungai.

Pada masa yang sama, lebih 38,000 etnik Rohingya melarikan diri ke sempadan Bangladesh sejak 25 Ogos lalu.

Tragedi menjelang umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha itu adalah tamparan hebat kepada masyarakat antarabangsa betapa penghapusan etnik di Myanmar semakin menjadi-jadi.

Kerajaan Myanmar dilaporkan cuba menyembu­nyi­­kan angka korban sebenar daripada pengetahuan media an­tarabangsa kerana bimbang di­kenakan tindakan tegas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sejak pertempuran berlaku, le­bih 120 buah rumah penduduk etnik Islam Rohingya dibakar oleh tentera Myanmar di Kampung Tharay Kone Tan di selatan Maungdaw.

Pengetua Sekolah Rohingya Balakong, Mohammed Junaid Zafar Ahmad mendakwa sejak 25 Ogos lalu, tentera dan polis Myanmar telah membunuh kira-kira 3,000 orang penduduk Rohingya selain membakar kediaman mereka dengan sewenang-wenangnya.

Mereka yang di­bunuh tidak mengira jantina sama ada lelaki, wanita atau kanak-kanak.

Adakah itu bukan tindakan atau perbuatan yang kejam? Sudah tentu ianya begitu kejam sekali.

Sejak bila ektik Rohingya ditindas?

Sejak penggubalan Akta Ke­rakyatan Myanmar 1982 oleh kerajaan negara itu, minoriti Islam Rohingya ditindas secara konsisten.

Ini berikutan akta tersebut tidak mengiktiraf minoriti Islam Ro­hingya sebagai salah satu daripada 135 etnik negara itu.

Keadaan itu mengakibatkan mereka tidak diberi status kewarganegaraan dan diisytiharkan sebagai pendatang.

Selain itu, hak-hak asasi mereka seperti kebebasan untuk bergerak, sekatan tertentu dalam perkahwinan, peluang yang adil dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan agama dinafikan.

Penindasan oleh pihak berkuasa Myanmar ini mengakibatkan beberapa insiden tidak diingini berlaku.

Antaranya, konflik antara etnik Rohingya dan etnik Rakhine beragama Buddha pada 2012 dan krisis ‘irregular migration’ di Lautan Andaman dan Teluk Bengal pada Mei 2015.

Ini bukan lagi soal penderitaan umat Islam, lebih daripada itu ia adalah jenayah kemanusiaan terkutuk yang semua agama termasuk Buddha dan tamadun menolaknya.

Di sebalik teguran berulang kali PBB dan bantahan umat Islam termasuk di Malaysia, kerajaan Myanmar masih gagal menghentikannya.

Pelbagai alasan terus diberi dalam mewajarkan kezaliman antaranya dakwaan kononnya memerangi keganasan etnik minoriti itu, sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya.

Apa diharapkan masyarakat dunia bangkit bersama untuk memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

Myanmar tidak boleh lagi dibiarkan seumpama baling batu sembunyi tangan atau terus bersandiwara.

Sudah sampai masanya langkah yang drastik diambil antaranya menghantar pasukan pengaman antarabangsa di wilayah penduduk Rohingya.

Kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang pernah menerima Hadiah Nobel Keamanan, juga perlu diheret ke PBB kerana dilihat seakan-akan bersubahat.

Hadiah Nobel itu sewajarnya ditarik balik atau dicampak sahaja ke longkang.

Apa diharapkan PBB, ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memperhebatkan tekanan supaya penindasan terhadap etnik Rohingya dihentikan segera.

Dunia tidak boleh gagal kali ini walau apa pun kompleksitinya.

Jangan hanya sekadar bercakap, tetapi ia perlu disusuli dengan tindakan drastik demi memastikan masyarakat Rohingya terbela dan tiada lagi yang terbunuh.

Adakah tindakan hanya akan dilakukan apabila etnik Rohingya di bumi Arakan sudah lenyap dari dunia ini?

Dunia perlu memikirkannya dan segera bertindak. Rohingya bukan sekadar jadi isu diskusi kedai kopi yang tidak berkesudahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here