PTPTN

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997(Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997.

Fungsi utamanya adalah untuk menguruskan pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pengajian tinggi kepada para siswa dan siswi yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini.

Bertitik tolak dari pinjaman kewangan yang diberikan, PTPTN juga bertanggungjawab memungut kembali bayaran balik daripada para peminjam yang telah melakukan pinjaman mereka dengan perbadanan itu.

Adakah menjadi kesalahan untuk pihak PTPTN berbuat demikian?

Sejak ditubuhkan, adakah PTPTN tidak memberi manfaat kepada golongan mahasiswa di negara ini?

Jika menyorot pada awal tahun 1990, pendidikan merupakan satu perkara yang memerlukan kos tinggi kerana pada era itu tidak ramai yang mampu untuk melanjutkan pengajian ke tahap tertinggi.

Jika tidak ada biasiswa atau tajaan, harapan seseorang khususnya orang Melayu dan bumiputera untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi adalah amat tipis sekali.

Apabila PTPTN ditubuhkan, semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dapat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan lebih tinggi.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bagaimana kerajaan Pusat perlu melindungi kepentingan kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, bumiputera.

Itu termasuklah kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.

Oleh sebab itu, PTPTN ditubuhkan bagi memberi kemudahan pinjaman pengajian di peringkat universiti dan pinjaman ini pastinya berbeza dengan biasiswa.

Tetapi malangnya, desakan supaya PTPTN dimansuhkan berterusan sehingga kini.

Jika dimansuhkan, pastinya ramai pelajar terutama yang kurang berkemampuan di luar bandar tidak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Adakah pihak yang melakukan desakan seperti aktivis pro pembangkang, Adam Adli mahu menanggung kos pembelajaran mereka?

Baru-baru ini, Adam Adli cuba menghasut mahasiswa menentang kerajaan melalui pembayaran PTPTN.

Bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dibuang pengajiannya itu suatu ketika dahulu pernah menjadi ‘ayam sabung’ pihak pembangkang khasnya PKR dalam setiap kali siri jelajah kempen politik mereka.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, hampir semua ceramah pembangkang menampilkan Adam Adli di atas pentas dengan pimpinan utama PKR termasuk idolanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai tokoh lain.

Bagaimanapun kebelakangan ini, nama Adam Adli seperti dilupakan banyak pihak waima pembangkang sendiri dan beliau juga tidak lagi kelihatan sepentas dengan barisan pemimpin Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat).

Adam Adli kini cuba bangkit dan mencipta isu mempertahankan mereka yang gagal membayar balik pinjaman PTPTN, sambil mempersoalkan tindakan pihak berkuasa ke atas mereka.

Aktivis pro pembangkang itu menyifatkan pendidikan tidak seharusnya menjadi perniagaan. Alasannya ia adalah hak semua.

Jelas Adam Adli, pelajar yang mengambil pinjaman PTPTN mungkin tidak menyedari risiko yang mereka hadapi termasuk disenaraihitamkan selepas menamatkan pengajian mereka.

Adam mendakwa, peminjam enggan membayar sebagai tanda protes terhadap dasar kerajaan tidak membiayai pendidikan tinggi.

Kata Adam lagi, mereka terpaksa mengutamakan pembayaran hutang komersial lain kerana bimbang harta benda dirampas bank.

Jika diimbas, pada April 2012, penganjuran demonstrasi menuntut supaya pinjaman PTPTN dimansuhkan yang diketuai, Adam Adli gagal menarik penglibatan golongan mahasiswa.

Demonstrasi hambar anjuran kumpulan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hanya disertai kurang daripada 200 mahasiswa.

Ia merupakan jumlah yang jauh lebih kecil berbanding sasaran awal penganjur iaitu 5,000 peserta terutama di kalangan mahasiswa dari seluruh institusi pengajian tinggi (IPT).

Kegagalan penganjuran demonstrasi itu turut diakui beberapa blog pro pembangkang yang menyifatkannya sebagai sangat memalukan.

Malah blog Suara Pakatan Rakyat di pautan suarapakatanrakyat.com turut menuding jari kepada Adam Adli sebagai punca kegagalan.

Kini, Adam Adli sekali lagi cuba menghasut mahasiswa berhubung isu PTPTN, kenapa dia berbuat demikian?

Adakah golongan mahasiswa kini sudah tidak mempercayai pembohongan yang dibuat oleh pembangkang?

Awal tahun ini, Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata, 663,000 peminjam tidak membuat apa-apa bayaran balik.

Daripada mereka, 19 peratus disenaraihitamkan kerana menanggung terlalu banyak hutang dan disekat daripada meninggalkan negara.

Sehingga awal tahun 2017, PTPTN hanya hanya mengutip RM10.8 bilion daripada RM18.8 bilion yang diedarkan.

Agak mengejutkan apabila terdapat dalam kalangan peminjam liat ini ialah kumpulan pertama sejak PTPTN ditubuhkan pada 1997.

Logikkah setelah lebih 19 tahun, mereka masih belum mendapat pekerjaan?

Adakah kerajaan bertindak zalim terhadap peminjam PTPTN?

Bajet 2017 yang diben­tang­kan oleh Perdana Men­teri, Datuk Seri Na­jib Tun Razak turut mem­be­rikan diskaun khas ke­pada peminjam PTPTN.

Sewajarnya perkara berkenaan disambut baik oleh lebih 650,000 peminjam PTPTN di seluruh negara.

Mengikut insentif berkenaan yang berkuat kuasa mulai 22 Oktober 2016 hingga 31 Disember 2017 itu, diskaun khas yang diberikan adalah berdasarkan kepada skima berikut:

*15 peratus atas baki hutang bagi penyelesaian penuh.

*10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus dari baki hutang dengan sekali bayaran.

*10 peratus untuk bayaran balik yang diatur melalui potongan gaji atau potongan terus dari bank mengikut jadual bayaran balik yang telah ditetapkan.

PTPTN pastinya mencari penyelesaian terbaik bagi membolehkan peminjam membayar pinjaman mereka.

Apa yang diberikan oleh PTPTN adalah pinjaman. Jika pinjaman, ia adalah hutang dan perlu dibayar.

Tabiat berhutang jangan dipandang kecil, kononnya hanya menjejaskan individu terbabit sahaja dan tidak melibatkan entiti yang lebih besar iaitu organisasi atau kerajaan.

Tidak mustahil penghutang ini sekiranya memegang jawatan tinggi dalam kepemimpinan organisasi yang diwakili akan turut menerapkan amalan berhutang.

Sebenarnya masalah hutang dan berhutang bukannya perkara baharu, kesan buruknya telah disebutkan oleh Rasulullah SAW sejak lebih 1,000 tahun lalu.

Antara hadis baginda ialah: “Seseorang mukmin yang meninggal dunia itu akan tergantung rohnya kerana hutang, sehinggalah hutang tersebut dibayar,” – Riwayat Tirmizi.

Jadi, sanggupkah membiarkan roh anda tergantung dan tidak aman kerana hutang?

Realitinya, anda juga pasti tidak suka jika orang yang meminjam wang mendiamkan diri seolah-olah tidak perlu membayar hutang bukan?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here