Pas didakwa sengaja menimbulkan isu Memali yang berlaku 32 tahun lalu demi meraih undi orang Melayu.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, menjadi perkara biasa apabila seseorang individu menentang BN, mengungkit kembali kesalahan lampau.

Menurutnya, Amanah menganggap perkara itu sudah lama berlaku, hampir empat dekad lamanya.

“Isu ini seolah-olah sengaja ditimbulkan apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersatu dengan kita.

“Apabila seseorang itu menentang BN, maka segala kesalahan masa lalu diungkit kembali. Saya tidak melihat isu itu terlalu besar kerana ia berlaku, pada ketika itu.

“Ini hanya politically motivated untuk ketika ini. Isu dibangkitkan (sekarang) untuk mendapatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu,” katanya kepada pemberita pada Konvensyen Wanita Amanah, semalam.

Menurut Salahudin, Amanah menyambut tangan Mahathir kerana bekas pemimpin negara itu menentang kezaliman paling besar iaitu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ketika saya di dalam Pas, pihaknya pernah mengadakan majlis sambutan memperingati Ibrahim Libya.

“Namun, selepas mengadakan mesyuarat bersama Ketua Polis Kedah, majlis itu dihentikan bagi mengelak kekecohan dan rasa tidak puas hati. Hanya sambutan memperingati sekolah yang diasaskan oleh Ibrahim Libya sahaja dibuat,” katanya. – Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here