isu larangan berhijab

BENAR dan tepat sekali jawapan yang diberikan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz apabila ditanya mengenai larangan berhijab yang dikenakan sesetengah hotel ke atas pekerja wanita Islam yang bertugas di bahagian perkhidmatan pelanggan ataupun front desk. Kurang ajar. Itulah perkataan yang keras, tetapi paling sesuai bagi menggambarkan sikap majikan dan pengusaha-pengusaha hotel ini.

Ianya amat penting untuk rakyat Malaysia dari pelbagai segmen faham mengenai konsep dan hak kebebasan di negara ini. Dalam konteks perusahaan persendirian, ataupun lebih tepat lagi, perniagaan swasta, hak majikan dan hak individu itu perlu dibezakan. Garis pemisah antara keduanya perlu jelas dan kedua-dua hak itu memang tidak boleh disekalikan.

Hak Majikan vs Hak Individu

Secara asasnya, kesemua majikan dan pengusaha mempunyai hak untuk menentukan individu mana yang mereka ingin ambil bekerja. Jika majikan tersebut hanya ingin memilih pekerja daripada segmen-segmen tertentu dalam masyarakat sekalipun, itu sememangnya hak mereka. Biarpun polisi dan hak sebegitu hanya akan menjarakkan lagi jurang perpaduan antara rakyat, hakikatnya ia tetap perlu dihormati, apatah lagi ia tidak pun melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.

Begitulah juga apabila bercakap mengenai hak pekerja. Walaupun dalam setiap perusahaan ataupun industri sememangnya terdapat polisi yang mengawal etika perkhidmatan di tempat kerja, hak-hak individu seseorang pekerja tidak wajar sama sekali diceroboh dan dilanggar. Hak-hak ini termasuklah kebebasan para pekerja untuk berpegang dengan kepercayaan masing-masing. Bagi individu Muslim, hak-hak yang berkaitan termasuklah kebebasan untuk berhijab dan hak menunaikan solat di tempat kerja.

Penghinaan Terhadap Islam

Memang sangat menyedihkan apabila hak-hak sebegini semakin terhakis dan ternafi, seolah-olahnya Malaysia ini negara yang mengamalkan sistem sekular sepenuhnya. Lebih mengecewakan, majikan-majikan ini pula bukanlah orang asing, sebahagian besarnya adalah rakyat Malaysia juga yang sudah berpuluh-puluh tahun hidup dan berpijak di bumi yang bertuah ini. Masakan mereka masih lagi jahil mengenai corak kehidupan komuniti lain yang berbeza bangsa dengan mereka? Inilah padah dan kesannya bila kebanyakan rakyat lebih cenderung untuk hidup secara ‘nafsi-nafsi’ tanpa sedikit pun rasa ingin ambil tahu tentang budaya dan sensitiviti penganut agama yang lain.

Ketika ungkapan “kurang ajar” oleh Nazri itu dilihat keras, ianya tidaklah begitu mengejutkan. Nazri sendiri selama ini dikenali sebagai menteri yang mempunyai jawapan ‘lain dari yang lain’ ketika berdepan dengan soalan-soalan seumpama ini. Respon yang tegas tetapi kedengaran lebih lembut tentunya datang dari agamawan. Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki misalnya menegur larangan berhijab ini sebagai satu bentuk perlanggaran jelas terhadap perlembagaan. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula menyifatkan ia sebagai satu penghinaan terhadap umat Islam.

Semangat Penentangan

Ya, memang benar. Jika betul kita adalah umat yang masih punya Iman, wajib dan wajarlah kita berasa dihina. Mana tidaknya, negara ini negara majoriti Muslim dengan Islam sebagai agama rasmi. Mengandaikan majikan-majikan ini sudah pun memahami kewajipan berhijab dalam kalangan wanita Islam, larangan kepada mereka dalam hal itu sememangnya satu penafian hak dan penghinaan jelas terhadap Islam di negara ini. Sejarah kegemilangan empayar Islam Abbasiyyah pernah mencatatkan bagaimana seorang khalifah, Abu Ishaq Al-Mu’tasim Billah, pernah menghantar bala tenteranya ke menawan kota Ammuriyah hanya disebabkan penguasa Rom di wilayah berkenaan memalukan, mencabul kehormatan seorang wanita Islam dan menawannya.

Begitulah hebatnya penentangan dan respon balas yang ditunjukkan umat Islam terdahulu terhadap sebarang bentuk penganiayaan terhadap wanita Islam. Hairan juga kita ke manakah perginya kelompok Muslim yang sering mendabik dada memperjuangkan hak asasi manusia selama ini? Senyap terus mereka. ‘Pejuang-pejuang’ kebebasan yang lain juga nampaknya tidak begitu berminat dalam isu ini. Begitulah terpilihnya sikap mereka apabila mendepani isu yang berkait dengan kepentingan dan hak umat Islam. Atas semangat penentangan, maka umat Islam di Malaysia wajar bangkit dan lebih tegas mempertahankan hak mereka, apatah lagi ianya melibatkan kepercayaan mereka sebagai orang Islam. Larangan berhijab terhadap wanita Islam yang memang pada asalnya berhijab adalah satu bentuk rampasan dan penafian hak yang tidak wajar sama sekali dikompromi.

Sel Kecil Dalam Barah

Perkembangan terbaru yang berlaku ini sewajarnya menjadi titik tolak kepada umat Islam secara keseluruhan khususnya kerajaan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan untuk mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menangani situasi-situasi serupa di tempat-tempat kerja yang lain. Ianya tidak semestinya di hotel sahaja dan tidak juga seharusnya mengenai larangan berhijab semata-mata. Kita yakin ini hanyalah satu sel kecil daripada keseluruhan barah yang bakal kita temui. Barah ini mungkin juga mengenai tegahan-tegahan yang lain seperti larangan menunaikan solat fardhu Jumaat bagi pekerja dan kakitangan lelaki Muslim.

Kita yakin, jika tindakan yang lebih proaktif dan menyeluruh diambil, rakyat akhirnya akan mendapati kes-kes diskriminasi terhadap pekerja Islam yang selama ini disangkakan terpencil, rupa-rupanya sudah berlaku dengan meluas di Malaysia. Ianya hanyalah mengenai samada kita tahu atau tidak sahaja. Dalam usaha kita memelihara keutuhan nilai Islam di negara ini, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak-pihak yang berkenaan. Mereka perlu sentiasa diingatkan bahawa seligat dan serancak mana pun perusahaan dan perniagaan mereka, hak dan kepentingan orang Islam jangan sesekali diusik dan diceroboh. Tidak di Malaysia. Untuk itu, wajarlah kita katakan kepada mereka, jangan kurang ajar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here