Setiap ceramah pembangkang pasti tidak akan terlepas daripada bercakap soal 1MDB. Ini sudah menjadi seperti satu perkara wajib yang disentuh mereka. Walaupun apa yang dicakapkan itu hanya untuk mengelirukan rakyat, namun pembangkang tetap tidak serik. Kita dapat melihat sendiri bagaimana bekas Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Dr Tan Seng Giaw yang juga anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berpandangan tiada sebarang bukti jelas masalah yang berlaku dalam 1MDB mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Namun disebabkan rasa iri hati dan marah yang menebal pembangkang tetap mengeluarkan fakta-fakta salah tentang 1MDB asalkan mampu mencapai matlamatnya. Malah Seng Giaw pula menerima akibat daripada bercakap benar apabila digugurkan sebagai calon untuk kerusi yang telah dipegangnya sejak puluhan tahun.

Terbaru kita melihat bagaimana temberang pembangkang berkaitan isu 1MDB pecah sekali lagi. Kali ini berkaitan dengan rampasan kapal mewah Equanimity di Indonesia oleh pihak berkuasa Indonesia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat. Kita melihat apabila kapal layar berkenaan dirampas pada Februari lalu, pembangkang setiap hari mendakwa 1MDB telah memalukan negara. Malah mendakwa Kerajaan Indonesia pantas melakukan kerja dan Kerajaan Malaysia cuba melindungi isu 1MDB.

Namun hakikatnya segala fakta terbongkar hari ini apabila Mahkamah Indonesia memutuskan bahawa pemilik sah kapal berkenaan ialah Equanimity (Cayman) Ltd dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan 1MDB. Malah mahkamah juga memutuskan untuk kapal berkenaan dikembalikan dengan segera kepada pemilik asal dan memutuskan bahawa rampasan berkenaan adalah tidak sah serta dilakukan tanpa asas perundangan yang sewajarnya.

Mahkamah Indonesia juga membuat keputusan bahawa pemilik kapal itu tidak melakukan sebarang jenayah dan rampasan itu tidak wajar untuk dibuat. Malah pihak polis Indonesia juga menafikan ada menemui apa-apa wang tunai berjumlah RM1 bilion ketika membuat rampasan berkenaan.

Ini keputusan mahkamah di Indonesia dan ini keputusan muktamad yang tidak boleh dipertikaikan. Maka sah dan sahih bahawa isu 1MDB dan rampasan kapal layar ini yang cuba dikaitkan sebagai sebahagian daripada skandal 1MDB adalah fitnah terbesar pembangkang. Kebenaran telah ditunjukkan dan rakyat harus menilainnya dengan teliti. Sehingga kini kita masih lagi belum mendengar sebarang permohonan maaf daripada pihak pembangkang berhubung isu ini.

Sebenarnya isu 1MDB sudah dijelaskan secara teliti oleh Kerajaan BN dan Najib. Tiada apa lagi yang wajar ditimbulkan melainkan ia hanya fitnah seperti ini. Rakyat sewajarnya mengelak daripada dimanipulasi secara jahat oleh pemimpin pembangkang. Pembohongan berkaitan 1MDB ini akan menjadi hukuman terbesar buat PH dalam pilihan raya umum 9 Mei ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here