isu gst panas di dewan rakyat

Isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) terus hangat dibahaskan dalam sesi penggulungan perbahasan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Sesi penggulungan itu disampaikan menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan mendapat pelbagai respons daripada barisan ahli Parlimen terutama pembangkang.

Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja) meminta menteri kewangan nyatakan adakah GST telah menyebabkan ramai peniaga ‘bungkus’, Johari menjawab ia hanyalah strategi pemasaran.

“Peniaga ini bergantung kepada ‘volume’ bisnes mereka. Contoh perniagaan tudung, upah jahit di Indonesia jauh lebih murah berbanding di Malaysia.

“Satu lagi, kebanyakan peniaga yang bawa barang dari luar negara pada kuantiti yang banyak.

Kalau ada yang tutup, sebenarnya mereka tak dapat nak bersaing dengan pasaran sedia ada,” katanya.

Menarik perhatian juga apabila, Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) menyoal adakah pembelian kapal layar dan jet peribadi turut dikenakan GST, Johari berkata, tiada pengecualian terhadap perkara tersebut.

“Orang beli kapal layar peribadi, kena bayar GST juga. Tetapi, pembelian pesawat komersial Malaysia Airline, Airasia dan Malindo Air dikecualikan GST,” ujar beliau.

Menjawab soalan Julian Tan Kok Ping (DAP- Stampin) berkaitan tempahan 32 pesawat yang diumum Datuk Seri Najib Tun Razak, Johari berkata, perkara itu belum diputuskan memandangkan pesawat berkenaan masih belum sampai ke Malaysia.

“Kalau pesawat itu sampai, dan ia digunakan sebagai pesawat komersial, ia dapatlah pengecualian kerana ia untuk tarikan pelancong,” katanya.

Sementara itu, Johari turut menjelaskan GST tidak boleh dimansuh kerana ia terbukti lebih bagus dari cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang pernah diamalkan sebelum ini.

“Sebanyak 174 negara yang sudah amalkan GST. Masa SST dulu, semua bayar cukai, tapi kerajaan tak boleh nak semak, bila ada GST, mereka daftar dan kerajaan dapat kesan sebarang transaksi.

“Adalah menjadi peranan semua YB untuk melaporkan kepada saya jika mendapati ada syarikat yang menipu,” katanya.

Dewan Rakyat juga gamat apabila Rafizi Ramli (PKR-Pandan) mencelah mengenai jawapan Jojari yang disifatkan tidak tepat.

“Jawapan menteri bertukar-tukar, tak tahu mana yang betul. Kejap kata syarikat kena daftar, kemudian kata tidak,” ujarnya.

Memandangkan sesi perbahasan isu GST ini berlanjutan, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia terpaksa menolak soalan mengenai perkara itu memandangkan ia dibahas terlalu lama.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Mohktar Radin turut diminta duduk ketika ingin mengajukan soalan.-SIANR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here