JIKA diimbas kembali, Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan tokoh politik pertama yang membangkitkan skandal isu Forex Bank Negara Malaysia (BNM) di Dewan Rakyat pada tahun 1994.

Kit Siang juga mempergunakan isu tersebut sebagai agenda perjuangan peri­badinya ketika itu dengan me­nuntut jawapan dan kebenaran dibongkarkan melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Bagaimana isu Forex itu bermula?

Isu kerugian yang dialami BNM akibat kegiatan perdagangan mata wang itu menggemparkan negara pada 1994 namun tiada tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat.

Pada masa itu, pelbagai pihak termasuk bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mempersoalkan mengapa BNM dilibatkan dalam kegiatan spekulasi mata wang yang berisiko tinggi untuk mengalami kerugian.

Pada 3 April 1994, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerugian sebanyak RM5.7 bilion yang dialami oleh BNM dalam transaksi perdagangan wang asing pada 1993 tidak menjejaskan kedudukan kewangan negara.

Pada 26 Januari 2017, bekas Penolong Gabenor BNM ketika itu, Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan BNM mencatatkan kerugian sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, jauh lebih besar daripada jumlah yang dilaporkan bank pusat itu.

Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion sahaja akibat kegiatan itu, sedangkan angka sebenar adalah jauh lebih besar.

Menurut Abdul Murad, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah meminta BNM memberi penjelasan tentang kerugian yang dikatakan terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah perbankan antarabangsa itu.

Transaksi berbentuk spekulasi melibatkan pelbagai mata wang asing termasuk pound sterling, dolar Amerika Syarikat (AS), mark Jerman dan yen itu direkodkan oleh seorang kakitangan berpangkat rendah BNM.

Apa yang pelik, tiada siasatan lanjut dijalankan walaupun kerugian mencecah AS$10 bilion.

Pada 21 Jun 2017, Kabinet sebulat suara bersetuju sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar 1980-an dan 1990-an.

Keputusan tersebut dicapai hasil syor Pasukan Petugas Khas (PPK) siasatan kerugian berkenaan yang telah selesai melaksanakan tanggungjawabnya.

Dalam laporan tersebut, PPK mendapati wujudnya kes prima facie bagi kerugian BNM sekitar tahun 1980-an dan 1990-an dan telah mencadangkan penubuhan RCI.

Apakah hasil RCI berkenaan?

Suruhan­jaya itu berpandangan Menteri Kewangan ketika itu sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan mengelirukan kepada Jemaah Menteri berhubung perkara berkenaan.

Suruhanjaya juga berpandangan bahawa terdapat elemen menyembunyikan fakta dengan sengaja memandangkan Laporan Tahunan BNM tidak menunjukkan kerugian sebenar yang dialami akibat urus niaga forex dari 1992 hingga 1994.

Laporan itu menyebut Perdana Menteri ketika itu turut dimaklumkan oleh Menteri Kewangan bersama dengan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada penghujung 1993 bahawa BNM mengalami kerugian akibat urus niaga forex pada tahun 1992 dan 1993 berjumlah RM30 bilion.

Bagi tempoh yang dinyatakan dalam laporan itu, Mahathir adalah Perdana Menteri manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, baru-baru ini Mahathir menempelak Abdul Murad berhubung kerugian urus niaga forex BNM.

Mahathir meletakkan kesalahan berikutan kerugian itu ke atas Abdul Murad de­ngan mendakwa bekas Penolong Gabenor BNM itu tahu tentang kerugian terbabit, namun memi­lih untuk berdiam diri dan hanya mendedahkan perkara yang diketahuinya itu baru-baru ini.

Persoalannya, beranikah Mahathir menyalahkan Kit Siang dengan penubuhan RCI tersebut?

Abdul Murad hanya memberi kete­rangan dalam pendengaran RCI berhubung kerugian sebenar forex, yang mendedahkan bahawa jumlahnya adalah RM31.5 bilion dan bukan RM5.7 bilion.

Bagaimanapun, Kit Siang yang selama 20 tahun sebenarnya mendesak supaya ditubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian urus niaga forex BNM.

Jika dilihat, Mahathir mungkin tidak akan menyalahkan Kit Siang berhubung isu itu.

Ini kerana, Mahathir kini memerlukan Kit Siang sebagai sekutu politiknya, manakala Kit Siang pula memerlukan bekas Perdana Menteri itu untuk meraih undi Melayu.

Kedua-duanya pemimpin itu sanggup membuat pusingan-U berhubung skandal forex.

Tahap kepura-puraan yang ditunjukkan Mahathir dan Kit Siang menunjukkan bahawa mereka meletakkan kepentingan politik lebih tinggi daripada mencari kebenaran.

Bukankah Kit Siang yang menuntut kebenaran dan Mahathir yang menyatakan beliau hanya mencari kebenaran berhubung isu Forex?

Jadi, kepada Mahathir, janganlah takut menghadapi kebenaran.

Berani kerana benar, takut kerana salah. Sejarah jelas tidak boleh menipu dan memutar kebenaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here