PAKATAN Harapan akan menyelesaikan isu calon perdana menterinya selepas mesyuarat Majlis Presiden gabungan pembangkang itu esok, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

“Kita belum buat keputusan (lagi) tetapi esok 4 haribulan dan kita ada mesyuarat majlis presiden. Esok kita akan tahu (siapa akan jadi perdana menteri),” katanya, menjawab soalan apakah PH sudah menyelesaikan isu calon perdana menteri.

“Saya berpegang pada keputusan semua empat parti (dalam PH). Saya tidak tahu apakah akan ada masalah dengan PKR, mereka tidak beritahu saya,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya mengenai tiga syarat yang dikatakan ditetapkan PKR sebelum bersetuju kepada cadangan menamakan dirinya sebagai calon perdana menteri PH.

Bekas perdana menteri itu berkata tidak timbul soal sama ada beliau akan berkuasa untuk 22 tahun lagi kerana tahun hadapan umurnya sudah 93 tahun.

“Saya sudah 92 tahun. Tahun ini 93, tentulah saya tidak akan jadi perdana menteri atau perdana menteri apa pun sampai saya umur 100 tahun,” kata Dr Mahathir.

PH dilihat berdepan kesulitan untuk mengesahkan calon perdana menterinya selepas ia dicadangkan dalam pemukiman gabungan pembangkang itu di Putrajaya pada awal bulan ini.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight bulan lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata setiap parti dalam gabungan pembangkang itu ada pertimbangan masing-masing dan ada kaedah membuat keputusan yang harus dihormati oleh parti-parti lain,

“Tak mengapalah. Memberikan sedikit ruang dan masa (kepada PKR), bagi saya, berpatutan tetapi seharusnya jangan dilambat-lambatkan.”

Katanya, beliau yakin tanda tanya siapa calon perdana menteri PH akan terjawab sebelum PRU14.

Dalam pada itu apabila ditanya sama ada sesi soal-jawab “Harapan Baru: Policy Talks” yang dikendalikan beliau itu sebagai petunjuk yang beliau akan menjadi perdana menteri sementara, Dr Mahathir berkata beliau akan menjawab sebagai pengerusi PH.

“Ia bukan soal (siapa akan jadi) perdana menteri, ini soal pengerusi. Pengerusi ada kelonggaran sedikit untuk menjawab soalan-soalan dan mungkin mengisytiharkan sesuatu (berhubung parti).

“Kita dalam keadaan untuk menjawab soalan, kalau tidak kenapa saya jadi pengerusi kalau saya tak mampu jawab soalan?” katanya.

Permohonan maaf ditujukan kepada siapa?

isu calon
Dr Mahathir telah memohon maaf atas semua kesalahan beliau sepanjang menjadi ahli politik. Bagaimanapun Dr Mahathir tidak menyatakan secara khusus kesalahan yang pernah dilakukannya itu – Malaysiakini

Berkaitan permohonan maaf beliau baru-baru ini, Dr Mahathir berkata ianya bergantung pada orang ramai kepada siapa permohonan maaf beliau itu ditujukan.

Dalam ucapan beliau di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bersatu, Dr Mahathir telah memohon maaf atas semua kesalahan beliau sepanjang menjadi ahli politik. Bagaimanapun Dr Mahathir tidak menyatakan secara khusus kesalahan yang pernah dilakukannya itu.

Beliau berkata permohonan maafnya tidak bermakna beliau mengaku kesalahan yang dituduh terhadapnya selama ini.

Jelasnya sebagai orang Melayu beliau perlu merendah diri sekiranya percakapan dan perbuatan beliau itu menyentuh sensitiviti individu lain.

“Saya dah minta maaf atas segala kesilapan yang saya mungkin pernah buat, atau dengan orang yang anggap (begitu) sepanjang penglibatan saya dalam politik.

“Itu bergantung kepada merekalah (kalau) mereka nak fikir pasal insiden itu (Memali dan Ops Lalang). Saya ada jawapan saya sendiri tapi itu bukan bermaksud orang akan terima jawapan saya.

“Awak akan percayakah kalau saya beritahu benda yang betul? Saya tahu. Awak tak akan percaya. Terutamanya pembangkang ketika itu (berkaitan skandal mata wang asing) tak akan percaya.

“Saya digambarkan sebagai monster (waktu itu), tetapi sekarang saya diterima oleh mereka yang gambbarkan saya sebagai monster dulu. Jadi kenapa mereka terima saya (sekarang)? katanya.

Dihalang RoS

isu calon
Menyentuh isu pendaftaran PH yang dihalang oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Dr Mahathir menambah yang mereka bersedia duduk berbincang mengenai masalah itu dengan RoS

Selain itu, menyentuh isu pendaftaran PH yang dihalang oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Dr Mahathir menambah yang mereka bersedia duduk berbincang mengenai masalah itu dengan RoS.

“Sebenarnya tak ada halangan langsung, semua yang nak dikehendaki telah kita beri, dan apabila mereka kata ada masalah di PPBM (Bersatu), bagitau apa dia masalah dan kita boleh betulkan.

“Kita bukan nak menentang kerajaan, kita nak supaya kerajaan berani mendaftarkan (kita),” katanya.

PKR mahukan Anwar sebagai perdana menteri

isu calon
Ketika krisis pemilihan calon perdana menteri PH timbul, PKR berkeras agar Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, ketika krisis pemilihan calon perdana menteri PH timbul, PKR berkeras agar Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri. Ia merupakan salah satu daripada tiga syarat PKR untuk bersetuju dengan pencalonan pengerusi PH Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara.

Dua lagi syarat ialah agar PKR dapat bertanding paling banyak di kerusi Parlimen semenanjung Malaysia dan juga supaya Dr Mahathir bersetuju untuk membuat perubahan dalam institusi utama dalam negara.

Anwar tidak dapat menjadi perdana menteri meskipun jika beliau dibebaskan awal dari penjara, kecuali peruntukan perlembagaan yang menghilangkan kelayakannya bertanding pada pilihan raya umum (PRU) dimansuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong, kata peguam. – The Malaysian Insight

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here