Malaysia akan menghantar permohonan maaf rasmi kepada kerajaan Indonesia berhubung isu kesilapan cetakan bendera republik itu dalam buku cenderamata Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang turut dihubungi rakan sejawatannya dari Indonesia.

Khairy berkata, perkembangan berkenaan turut dimaklumkan kepada Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi.

“Saya telah memaklumkan kepada Bapak Imam bahawa Menteri Luar Indonesia sudah berhubung dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman.

“Datuk Seri Anifah memaklumkan kepada saya bahawa satu permohonan maaf rasmi akan dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia kepada kerajaan Indonesia menerusi Kementerian Luar.

“Permohonan rasmi itu termasuk permohonan rasmi maaf daripada saya sendiri kepada Bapak Imam secara lisan dan bertulis. Ia adalah langkah menzahirkan kekesalan Malaysia sebagai tuan rumah terhadap apa yang berlaku.

“Saya harap atas semangat setia kawan dan serumpun, permohonan maaf ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan dan rakyat Indonesia supaya kita dapat terus membina hubungan baik antara kedua-dua negara,” katanya.

Khairy berkata demikian dalam sidang media bersama Imam Nahrawi di sebuah hotel di sini, hari ini.

Terdahulu, mereka mengadakan pertemuan tertutup kira-kira 20 minit, bagi membincangkan isu salah cetak bendera Indonesia dalam buku cenderamata KL2017 yang diedarkan pada majlis pembukaan temasya dwitahunan itu, malam tadi.

Khairy berkata, Malaysia memohon maaf kepada semua rakyat Indonesia atas kesilapan tidak disengajakan itu dan pihaknya mengakui ia adalah kesilapan besar akibat kecuaian penganjur.

Beliau turut mengarahkan semua buku cenderamata berkenaan tidak diedarkan dan akan mencetak buku baharu bagi membetulkan kesilapan terbabit.

“Semua buku baharu ini akan dihantar kepada tetamu kehormat semalam terutama wakil kerajaan ASEAN bagi menggantikan buku cenderamata yang mengandungi kesilapan berkenaan,” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong.

Sementara itu, Imam berkata, pihaknya sudah mengambil maklum permohonan maaf berkenaan dan akan disampaikan kepada Presiden Jokowi untuk tindakan selanjutnya.

Beliau turut berharap insiden itu tidak akan berulang kerana bendera adalah simbol negara yang perlu dihormati.

“Perkara ini tidak boleh melemahkan semangat atlet Indonesia dan negara lain, sebaliknya dijadikan pengajaran penting,” katanya. – Berita Harian

SHARE
Previous articleIsu Memali – Taktik PAS Untuk Raih Undi
Next articleJangan Cepat Jatuh Hukum Dalam Isu FGV
Berketurunan Melayu Jawa tetapi tidak boleh berbahasa jawa. Merupakan seorang peminat masakan jawa lebih-lebih lagi tempe dan nasi pecel lele. Juga merupakan peminat tegar kepada pasukan bola sepak Barcelona FC. Visca El Barca!!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here