bendera terbalik

ISU yang menyelubungi imej bendera negara Indonesia yang dipaparkan secara terbalik dalam buku cenderahati Sukan SEA ke-29 nampaknya masih lagi hangat diperkatakan.

Di pihak Malaysia, kesilapan itu adalah sangat tidak disengajakan dan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-29 (MASOC) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sendiri telah pun membuat permohonan maaf secara rasmi kepada rakan sejawatnya dari Indonesia, Imam Nahrawi sebaik sahaja perkara itu disedari.

Malah, Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Sri Anifah Aman juga telah membuat permohonan maaf kepada Indonesia atas kesilapan tersebut.

Di pihak kerajaan Indonesia pula, biarpun kesilapan tersebut amat dikesali, mereka tetap menerima permohonan maaf daripada Malaysia atas semangat kesukanan, kejiranan dan bangsa yang serumpun. Lebih penting, Presiden Joko Widodo sendiri telah menerima permohonan maaf tersebut dan meminta rakyatnya agar tidak memperbesar-besarkan isu tersebut.

Menangguk Di Air Yang Keruh

Walau bagaimanapun, isu ini tampak sengaja dipanjangkan oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan mereka. Memanjangkan isu yang sudah dianggap selesai ini hanya melarikan fokus penganjuran sukan dwitahunan itu sendiri; perpaduan.

Sebuah parti politik Indonesia, Partai Persatuan Pembangunan (PPP) melalui Ketua Umumnya, Dr. Reni Marlinawati telah menggesa kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas penganjur Sukan Sea ke-29 (KL2017) berhubung isu tersebut.

Reni mendakwa isu tersebut telah membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia dan merencatkan matlamat asal KL2017 untuk mengeratkan hubungan antara negara-negara bertanding melalui sukan.

Anehnya, selain isu bendera terbalik, Reni juga membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diterima oleh sesetengah tenaga kerja dari negara itu di Malaysia. Jelas, isu bendera terbalik ini nampaknya hanya dijadikan modal sesetengah pihak untuk mengetengahkan agenda dan retorik politik mereka.

Protes Dan Respon Yang Kita Terima

Sebaik isu itu hangat dihebahkan di Indonesia dan walaupun permohonan maaf telah pun dibuat oleh kerajaan Malaysia, ia nampaknya tidak langsung meredakan kemarahan sebilangan rakyat Indonesia.

Berikutan isu tersebut, tidak kurang 33 laman Malaysia telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dari Indonesia dengan kebanyakan laman ini adalah milik persendirian dan blog perniagaan di Malaysia. Malah, dilaporkan ada laman institusi pendidikan di Malaysia yang juga turut terkesan dengan klik ke laman-laman tersebut memaparkan ayat “Bendera negaraku bukanlah mainan”.

Semalam juga menyaksikan ratusan anggota beberapa pertubuhan mengadakan protes di luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan menuduh penganjur Sukan SEA ke-29 sengaja mencetak bendera Indonesia secara terbalik. Malaysia disifatkan mereka sebagai keterlaluan dan tidak boleh dibiarkan.

Belajar Dari Kesilapan

Di sebalik upacara pembukaan KL2017 yang gilang gemilang, kita harus mengakui bahawa paparan imej bendera Indonesia secara terbalik ini merupakan kesilapan yang amat besar dan tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi ianya melibatkan sebuah negara jiran yang paling kita kenal.

Pihak penganjur sepatutnya tahu dan kenal bendera negrara-negara jiran. Malah, mereka seharusnya juga perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih teliti dalam melakukan semakan dari semasa ke semasa sebelum buku cenderahati itu diedarkan.

Apa pun, kita tidak akan pernah belajar jika tidak pernah membuat silap. Justeru, permohonan maaf segera yang dibuat Malaysia kepada Indonesia dan seluruh rakyatnya dalam hal ini merupakan satu tindakan terpuji.

Melayan gesaan sesetengah pihak yang berkepentingan agar mengambil tindakan terhadap penganjur KL2017 juga bukanlah sesuatu yang bijak. Apakah pihak ini fikir dengan tindakan tersebut, hubungan Malaysia-Indonesia akan terus kembali jernih tanpa sebarang provokasi lagi di masa hadapan? Ianya tidak masuk akal sama sekali.

Berdepan dengan tekanan dan provokasi yang masih berlarutan sehingga ke hari ini, ketenangan kerajaan dan rakyat Malaysia secara amnya dalam mendepani hal ini adalah sangat dipuji. Apatah lagi jadual penganjuran Sukan SEA yang memang diatur dalam bulan Ogos yang merupakan bulan kemerdekaan, mentaliti kita sebagai rakyat yang matang tidak seharusnya ‘koyak’ berdepan provokasi sebegini. Anasir di belakang kesemua provokasi ini hanyalah ejen pemecah belah.

Sukan SEA edisi kali ini baru sahaja bermula. Nikmati sahaja penganjuran kita pada tahun ini dan berikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kesemua atlet negara. Tahun ini tentunya menjanjikan kelainan dalam sambutan kemerdekaan kerana semangatnya telah kita serap dengan dalam, setanding dengan gilang-gemilangnya upacara pembukaan KL2017 pada Sabtu yang lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here