PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 6 Disember lalu menunaikan janji pilihanrayanya berhubung pemindahan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Pengumumam Trump itu sekali gus mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Serentak itu, ia juga merupakan pengisytiharan Baitulmuqaddis sebagai milik Israel walaupun ia dirampas daripada Palestin.

Perkara tersebut sudah dijangka berlaku apabila Trump menang Pilihan Raya Presiden AS tahun lalu.

Apa yang tidak dijangka ialah sama ada Presiden AS itu akan melaksanakannya juga setelah mendapat nasihat dan amaran daripada pelbagai pihak.

Sejak awal lagi kempen pilihanraya presiden sepanjang tahun lalu, Trump menyatakan pendiriannya bahawa AS mesti menyokong apa yang disifatkan sebagai hak Israel untuk menentukan ibu negara mereka.

Jika dilihat kembali, peperangan untuk menuntut hak ke atas Baitulmuqaddis telah lama berlaku sejak 1949.

Peperangan itu tercetus antara negara-negara Arab yang terdiri daripada Jordan, Mesir dan Syria meletus. Negara-negara Arab itu berusaha untuk membebaskan Palestin dan menumpaskan rejim Tel Aviv namun pihak Arab gagal.

Sebaliknya Israel dapat menguasai Baitulmuqaddis Barat dan Jordan pula hanya dapat mempertahankan Baitulmuqaddis Timur.

Israel mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya menggantikan Tel Aviv.

Tetapi dunia tidak mengiktirafnya. Baitulmuqaddis Barat telah ditawan dalam perang dan ia jelas bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Negara-negara Eropah menolak kehendak Israel dan mereka cadangkan supaya Baitulmuqaddis dijadikan kota antarabangsa di mana penziarah keagamaan bebas memasukinya.

Ini kerana Baitulmuqaddis adalah kota suci Yahudi, Kristian dan Islam.

Buat masa ini pun, kota itu terbahagi kepada tiga sektor. Baitulmuqaddis Barat menempatkan sektor Yahudi sementara Islam dan Kristian berada di bahagian Timur.

Rejim Tel Aviv tidak mempedulikan semua itu. Pada tahun 1980, mereka menggubal Basic Law atau Hukum Asas bertaraf Perlembagaan yang menyebut bahawa ibu negara Israel adalah Baitulmuqaddis.

Mereka telah menempatkan bangunan Parlimen iaitu Knesset, kediaman Presiden dan pejabat Perdana Menteri di Baitulmuqaddis untuk menunjukkan bahawa ibu negara Israel bukan Tel Aviv.

Tidak ada negara yang mengiktirafnya. Maka semua negara yang mengiktiraf Israel tetap mengekalkan kedutaan masing-masing mereka di Tel Aviv, termasuk AS. Lobi Yahudi terus berusaha supaya Washington memindahkan kedutaannya.

Setiap kali Pilihan Raya Presiden, calonnya mesti berusaha mendapatkan undi dan dana Lobi Yahudi. Mereka juga menuntut presiden-presiden AS itu mengiktiraf Baitulmuqaddis dan memindahkan kedutaan negara itu daripada Tel Aviv.

Tetapi sejak tahun 1980, daripada Jimmy Carter, Ronald Reagan, George H. W. Bush, Bill Clinton, George W. Bush hinggalah Barack Obama, sama ada dari Parti Republikan, mahupun Parti Demokratik tetap tidak memindahkan kedutaan AS ke Baitulmuqaddis.

Hinggalah apabila Trump menjadi presiden. Tetapi ketika Trump memberi janji untuk pengiktirafan itu semasa kempen, kebanyakan pihak tidak mengambil perhatian berat kerana menjangkakan beliau akan kalah pada Hillary Clinton.

Banyak pengundi AS menyokong Trump atas pelbagai sebab dan bukannya hanya kerana dasarnya terhadap Israel dan Palestin.

Tetapi apabila Trump menjadi presiden, presiden itu mempunyai kuasa terhadap hubungannya dengan Israel dan Palestin.

Intifad telah diisytiharkan oleh Hamas. Tetapi itu bukan satu-satu badai yang akan dihadapi dunia akibat tindakan Trump.

Banyak kalangan penyokong Palestin menyatakan bahawa tindakan Trump, AS dan Israel tidak akan dibiarkan berlalu tanpa tindakan balas.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniya berkata, keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel adalah deklarasi perang terhadap rakyat Palestin serta panggilan ‘intifada’ atau pemberontakan.

“Keputusan ini telah membunuh proses damai, telah membunuh proses penyelesaian.

“Keputusan AS adalah pelanggaran, pengisytiharan perang terhadap kita, mengenai kota suci Muslim dan Kristian.

“Kita harus berusaha melancarkan intifada dalam menghadapi Zionis,” kata Haniya.

AS merupakan kuasa dunia yang utama, terutamanya dari aspek ketenteraan.

Segala tindakan yang diambil Trump terhadap negara-negara lain menimbulkan kemarahan dunia.

Perkara itu juga berpotensi untuk mencetuskan perang sekiranya Trump benar-benar melampaui batas.

Adakah Trump sengaja mahu mencetuskan peperangan?

Jika ia terjadi, itulah jihad terbesar umat Islam membela hak dan sokongan diperlukan demi memastikan perjuangan itu mencapai kemenangannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here