Istana Johor

KENYATAAN terbaharu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mencabar pasukan polo negara yang beraksi pada Sukan SEA ke-29 (KL2017) agar bertanding melawan pasukan polo Istana Johor merupakan satu lagi episod perang mulut yang tak ingin kita lihat berlaku antara pihak Istana dan menteri negara.

Kenyataan itu menyebut pasukan polo negara yang dianggotai Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hanya bertanding melawan pasukan yang sekadar datang mencukupkan syarat pertandingan selain mempunyai handicap yang rendah.

Selain itu, kenyataan tersebut juga menyentuh tindakan Khairy yang hanya masuk bermain ketika pasukan sudah pun mendahului permainan untuk dijadikan propaganda kepada orang ramai bahawa menteri itulah yang menang dan handal.

Perang mulut yang tidak berkesudahan antara pihak Istana Johor dengan Menteri Belia dan Sukan negara ini bukanlah baharu. Kita sudah melihat isu ini berlarutan agak sekian lama dengan rata-ratanya memang tertumpu kepada isu pembangunan belia dan sukan negara.

Menyoroti perkembangan ini, penganugerahan pangkat Brigedier Jeneral (Askar Wataniah) yang diterima Khairy sekitar tahun lalu turut dipersoalkan hatta oleh rakyat terbanyak memandangkan beliau tidak pernah menerima latihan ketenteraan menyeluruh.

Perbalahan ini menjadi semakin jelas terbuka sejak Khairy diumumkan sebagai salah seorang anggota pasukan polo negara yang bertanding pada temasya Sukan SEA pada edisi kali ini.

Sekarang Bukan Masanya

Sebagai rakyat, kita mungkin tidak akan pernah tahu apakah punca sebenar yang menjadi akar kepada isu ini walaupun kita mungkin mengambil tahu sedikit sebanyak mengenai perkembangan yang berkaitan.

Hakikatnya, perbalahan sebegini tidaklah perlu dipertontonkan kepada khalayak ketika rakyat di seluruh negara sedang menumpukan sokongan terhadap atlet-atlet negara yang bertanding pada temasya Sukan SEA kali ini. Apatah lagi Malaysia kini berada prestasi terbaik untuk mencatatkan rekod yang paling cemerlang sepanjang penyertaan.

Istana Johor sememangnya dikenali begitu mesra rakyat dan sangat perihatin mengenai kebajikan rakyat Johor khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Sokongan dan sumbangan besar pihak Istana terhadap pembangunan sukan negara tidak dapat dipertikaikan lagi.

Begitulah juga dengan Khairy yang walaupun dilantik sebagai menteri yang barangkali antara paling muda dalam sejarah, komitmen beliau terhadap portfolio yang dipegang sememangnya diakui. Malah, tidak salah jika Khairy kita sifatkan sebagai menteri yang paling popular di mata rakyat khususnya golongan muda.

Dua Kelas Yang Berbeza

Bercakap mengenai sukan polo, kita akui populariti sukan tersebut kini agak meningkat naik di Malaysia. Tambahan pula, sebelum bermulanya KL2017, rata-rata rakyat mula mengambil tahu sedikit sebanyak mengenai sukan tersebut berikutan penyertaan Khairy sendiri selain populariti Putera Abdul Mateen Bolkiah yang mewakili pasukan polo Brunei.

Dan sebagai rakyat, kita juga sedia maklum mengenai kehandalan pasukan polo Istana Johor. Polo adalah sukan yang telah pun sebati dengan Istana Johor yang secara tradisinya telah dimainkan sejak tahun 1884 lagi. Gelaran yang dicapai melalui penyertaan di pelbagai negara di seluruh dunia selain partisipasi dalam Piala Dunia juga sudah membuktikan kehandalan pasukan itu.

Atas logik ini, kita tahu pasukan polo Istana Johor sudah pun berada dalam kelasnya yang tersendiri. Pasukan polo negara pula mungkin baru sahaja hendak membina nama di persada rantau ini. Justeru, mereka tentulah bukan tandingan pasukan Istana setidak-tidaknya buat masa sekarang.

Kejantanan Yang Sudah Dibuktikan

Mengadakan perlawanan antara pasukan polo negara menentang pasukan Istana Johor bagi membuktikan kejantanan masing-masing kedengarannya agak sedikit aneh dan janggal.

Pertama, ianya tidaklah kedengaran seperti sebuah perlawanan persahabatan.

Kedua, kedua-dua pasukan polo ini berada dalam kelas yang berbeza. Satu pasukan sudah berkelas dunia. Satu lagi masih di peringkat rantau ini sahaja. Ternyata satu pihak itu bukan tandingan pihak yang satu lagi.

Perlawanan membuktikan kehandalan ini jika pun terjadi seolah-olahnya sudah seperti perlawanan antarabangsa sedangkan kedua-dua pasukan ini adalah pasukan yang membawa nama Malaysia. Justeru, keputusan perlawanan ini kelak mungkin hanya akan memuaskan hati pihak yang bertanding. Peminat tetap tidak mendapat apa-apa.

Ikon Rakyat

Kedua-dua pihak, baik Istana Johor mahupun Khairy sendiri begitu dikenali dengan semangat dan kecintaan kepada sukan. Cetusan ilham yang dizahirkan oleh kedua-dua pihak untuk kemajuan pembangunan sukan negara bukanlah calang-calang.

Pembangunan sukan khususnya bola sepak baik di Johor mahupun di Malaysia telah sedikit sebanyak menunjukkan perkembangan yang amat baik. Kejayaan pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dalam mencipta nama di peringkat antarabangsa tidak perlu disangkal lagi. Pembangunan bola sepak Malaysia di peringkat tunas juga telah kita lihat peningkatannya yang begitu baik sekali.

Jadi, impian kita untuk melihat pasukan negara bertanding di Kejohanan Piala Dunia setidak-tidaknya dalam tempoh beberapa edisi akan datang belum boleh dikuburkan sepenuhnya.

Tanyalah mana-mana rakyat pun, tentu mereka sangat gembira apabila Tengku Mahkota Johor (TMJ) menduduki kerusi Presiden FAM. Perasaan yang sama mereka zahirkan terhadap prestasi Khairy selaku menteri. Sebabnya hanya satu; kedua-dua individu berpengaruh ini mampu mencorakkan perubahan dalam pembangunan sukan negara biarpun proses itu tentunya mengambil sedikit masa.

Maka besarlah harapan rakyat untuk melihat hubungan yang lebih harmoni antara menteri dengan pihak Istana ini kerana hakikatnya merekalah ikon yang bukan sahaja diharap mencorakkan perubahan dalam arena sukan, bahkan lebih penting menyemai benih perpaduan yang lebih jitu antara rakyat merentasi kaum, agama dan wilayah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here