Monday, June 18, 2018
Home News Israel Buru Hamas di Kem Pelarian Jenin
Israeli army machines demolish a Palestinian house during an Israeli raid in the West Bank city of Jenin September 1, 2015. REUTERS/Mohamad Torokman

Israel Buru Hamas di Kem Pelarian Jenin

0
304

NABLUS, PALESTIN – Pasukan keselamatan Israel telah membuat serbuan ke atas kem pelarian Palestin di Tebing Barat malam semalam. Pihak israel mendakwa serbuan ini dilakukan bagi menjejaki anggota pergerakan Hamas. Serbuan tersebut mencetuskan pertempuran ganas antara dua pihak sehingga mengakibatkan seorang polis sempadan dan lima penduduk Palestin cedera.

Pertempuran yang berlanjutan selama beberapa jam di bandar Jenin di utara Tebing Barat itu merupakan insiden keganasan paling buruk berlaku di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tentera Israel dalam satu ken­yataan berkata, serbuan itu dibuat bagi menangkap seorang anggota kanan Hamas.

“Semasa operasi itu berlangsung, gesaan berulang kali dibuat bagi meminta anggota berkenaan menyerah diri. Pasukan keselamatan kemudian memusnahkan rumah tersebut yang dipercayai lokasi persembunyian anggota Hamas berkenaan.

“Satu rusuhan ganas membabitkan beratus-ratus penduduk Palestin berlaku di kawasan itu. Mereka bertindak melontar batu dan bom petrol ke arah pasukan keselamatan. Seorang anggota polis sempadan cedera akibat serangan tersebut,’’ katanya.

Sumber pasukan keselamatan Palestin dan saksi berkata, pertempuran itu turut menyaksikan insiden berbalas tembakan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan Israel.

Lima penduduk Palestin ce­dera dalam pertempuran itu.

Kata sumber, rumah yang menjadi sasaran pasukan keselamatan Israel adalah kepunyaan seorang pegawai Hamas, Majdi Abu al-Hija yang kemudiannya ditahan.

Tambahnya, seorang pejuang daripada kumpulan Jihad Islam berjaya melarikan diri semasa serbuan itu.

Kem pelarian itu menempatkan kediaman ramai anggota Hamas dan Jihad Islam.

Sumber: Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here