Tan Sri Isa Samad menjarakkan dirinya daripada kontroversi sekitar dakwaan penipuan dalam projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di tanah milik Felda di Jalan Semarak yang berpindah milik ketika beliau menjadi pengerusinya.

“Saya tak ada kena mengena lagi dengan Felda. Tanya pengerusi Felda,” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

“Saya tak mahu komen,” katanya ketika ditanya berhubung laporan audit forensik berkaitan dokumen dan rekod transaksi pada 2014 yang dibentangkan Khamis lalu.

Dalam kenyataan semalam, Jabatan Perdana Menteri berkata audit forensik yang dibuat terhadap projek KLVC itu menunjukkan berlakunya kecuaian dan pelanggaran prosedur perolehan dalam menjaga kepentingan Felda.

Kenyataan itu juga berkata Felda telah diarahkan untuk mengambil tindakan tata tertib atau undang-undang terhadap mereka yang dinamakan dalam laporan itu, yang didapati cuai dalam melaksanakan tugasnya dan tidak menjaga kepentingan Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Pada 5 Januari lalu, Isa dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman, berhubung isu itu yang menyaksikan Felda kehilangan hak milik tanah di Jalan Semarak yang dianggar bernilai RM200 juta.

Isa merupakan pengerusi Felda sejak tahun 2011 sebelum digantikan dengan anggota parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir SAmad pada Januari tahun lalu.

Beliau juga pengerusi Felda Global Ventures sejak Januari 2011 hingga 19 Jun 2017, serta pengerusi FIC sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga awal tahun lalu.-MK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here