Kerajaan memutuskan kontrak perkhidmatan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dipendekkan kepada 14 Jun tahun ini (2018), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Irwan Serigar dilantik secara kontrak sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan mulai 7 Mac tahun lalu hingga 6 Mac 2019.

“Mulai 14 Mei 2018 hingga 13 Jun 2018, pegawai (Irwan Serigar) ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tidak dibenarkan menjalankan tugas sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan atau apa-apa yang berkaitan dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Usaha mendapatkan reaksi Irwan Serigar tengah hari tadi di perkarangan Perbendaharaan di Presint 2, di sini berikutan desas-desus berhubung isu perjawatannya gagal apabila beliau tidak memberi sebarang reaksi walaupun pada kebiasaannya beliau mudah didekati media.

Irwan Serigar dilihat memasuki bangunan Perbedaharaan kira-kira jam 11.45 pagi selepas menghadiri mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bersama pegawai kanan perkhidmatan awam mengenai pelaksanaan 10 janji 100 hari kerajaan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Presint 8.

Pada kira-kira jam 1 tengah hari tadi beliau meninggalkan bangunan Kementerian Kewangan itu dengan mengepit sebuah fail lalu beredar menaiki keretanya tanpa bercakap kepada pemberita. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here