Sikap pelakon Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin yang didakwa sering membuat aksi aneh dan lucah di laman sosial sejak kebelakangan ini mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Zulkifli dalam surat terbukanya di Facebook meminta Iqram Dinzly agar tabah menghadapi dugaan, ekoran peristiwa kematian bapa pelakon tersebut baru-baru ini.

Mufti menasihati agar Iqram Dinzly tidak menghiraukan cemuhan masyarakat ke atas tingkah laku yang ditunjukkannya di media sosial.

Tambahnya, pihaknya sedia bertemu dan menghulurkan bantuan ke atas Iqram Dinzly, 36.

“Kami menjemput saudara Iqram untuk hadir di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya untuk kita mengenali satu sama lain

“Juga berbincang mengenai sisi dan keadaan saudara. Mungkin ada sisi tertentu yang kami boleh usahakan untuk bantuan dan sokongan,” kata Zulkifli.

Tambahnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengambil sikap berkecuali ke atas isu yang berlegar di laman sosial Iqram Dinzly, merujuk kepada kelakuan aneh pelakon itu.

“Dalam masa sama kami ambil maklum akan cemuhan dan kata- kata kasar daripada netizen terhadap saudara.

“Nasihat kami cemuhan berkenaan tidak perlu dipedulikan dan diambil perhatian kerana sejujurnya ia akan memberi lebih banyak tekanan kepada saudara,” kata Zulkifti lagi.

Pelakon yang pernah mengacarakan rancangan Jalan-Jalan Cari Makan di stesen TV3 itu dikatakan bersikap aneh sejak dari kematian bapanya pada Oktober lalu.

Sejak daripada itu, Iqram sering berkongsi gambar dengan aksi aneh, ganjil dan lucah di platform media sosialnya sehingga hingga dilabelkan oleh sesetengah warga netizen sebagai orang tidak waras.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here