banjir

Kerajaan bersetuju menyediakan insurans khas bencana kepada 100,000 mangsa di kawasan berisiko banjir di seluruh negara bermula tahun ini.

Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat berkata, pegawai daerah akan ditugaskan untuk mendapatkan senarai nama penduduk yang berisiko dilanda banjir dari setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Melalui insurans tersebut, setiap ketua keluarga hanya perlu membayar RM10, manakala RM65 lagi akan disumbangkan kerajaan untuk dibayar kepada syarikat insurans, membolehkan mereka yang memegang polisi menikmati perlindungan premium bagi meringankan beban sekiranya dilanda bencana, katanya.

“Hanya dengan RM75, mereka boleh memperoleh pampasan sehingga RM1,000 dalam tempoh 72 jam selepas dilanda bencana dan ia bukan hanya tertakluk kepada mangsa banjir tetapi meliputi mangsa bencana lain seperti kebakaran dengan jumlah pampasan yang berlainan,” katanya selepas merasmikan Latihan Amal Malaysia-Thailand di sini, hari ini.

Katanya, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan insurans khas itu dibuat dalam mesyuarat  tertinggi baru-baru bagi membantu mangsa banjir sekali gus membolehkan mereka memperoleh pampasan dalam tempoh segera.

“Kami harapkan dalam bulan Oktober ini ia (insurans) dapat dilaksanakan,” kata Azizan.

Seramai 450 peserta terdiri daripada pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bulan Sabit Merah terlibat dalam latihan amal  tersebut.

Latihan amal itu termaktub di bawah perjanjian Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) untuk mewujudkan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam pengurusan bencana. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here