Baru-baru iniĀ berlaku pertembungan sayap pemuda dua parti Melayu dari pihak yang berbeza, Pemuda UMNO dan Pemuda Parti Pribumi Bersatu (ARMADA). Pertembungan ini berlaku selepas sekumpulan 30 anggota ARMADA berarak ke Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menghantar jemputan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0 dan seterusnya berdebat dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun langkah 30 anggota ARMADA berkenaan dihalang oleh kira-kira 100 Pemuda UMNO yang diketuai Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii dan Exco Pemuda UMNO Pusat Datuk Armand Azha Hanifa. Dalam kejadian yang melibatkan tolak-menolak dan penuh provokasi itu, Ketua Penerangan ARMADA, Ashraf Mustaqim mendakwa telah ditumbuk oleh anggota Pemuda UMNO.

Insiden ini jelas sekali amat memalukan dan pemimpin-pemimpin muda dalam parti politik Melayu telah gagal menunjukkan sikap toleransi, keterbukaan dan matang dan berhadapan dengan isu dan cabaran politik. Cara provokasi dan budaya samseng nampaknya lebih menjadi pilihan dan rakyat boleh menyaksikan semua ini dalam rakaman yang tersebar di media sosial.

Apakah Melayu sikapnya begini dan bukankah Melayu terkenal dengan adat dan sopan santunya. Apabila tetamu tidak diundang datang ke rumah adakah perlu terus diserang tanpa periksa? Inilah persoalan adab dan budaya yang telah gagal dihormati oleh kedua-dua pihak.

ARMADA juga dilihat seperti sengaja mahu mencari publisiti dan menimbulkan kekecohan dengan membawa ahli yang ramai untuk semata-mata menghantar surat kepada Datuk Seri Najib Razak. Sewajarnya, jika ARMADA mahu dilihat matang dan membawa budaya politik baru di Malaysia, mereka cukup sekadar menghantar wakil pimpinan parti berkenaan untuk menyerahkan surat berkenaan, tidak perlu sehingga 30 orang untuk menyerahkan surat itu.

Pemuda UMNO sebagai sebuah sayap politik tertua di negara ini juga tidak wajar bertindak atas landasan provokasi dan budaya samseng. Ini bukan negara rimba yang tidak beralaskan undang-undang dan hukum. ARMADA datang bukan untuk berperang dan membawa apa-apa senjata dan Pemuda UMNO perlu terbuka dan bijak dalam menangani situasi seperti ini. Jika tidak membenarkan pun wakil ARMADA menjejakkan kaki ke dalam Ibu Pejabat UMNO, perbincangan lanjut boleh diadakan di luar bangunan dengan masing-masing pihak menghantar wakil untuk berunding.

Tindakan provokasi berlanjutan sehingga hampir mencetuskan pergaduhan bukanlah jalan terbaik dalam Malaysia menuju ke arah budaya politik matang. Sebagai parti-parti politik Melayu, nilai-nilai murni dalam kebudayaan Melayu itu wajar dipertahan dan dijadikan contoh dan Melayu itu bukan hanya pada nama, tetapi pada harga diri dan maruah yang sentiasa terpelihara denga penuh kesantunan.

Jika pun bukan kerana Melayu, ingatlah salah satu ikrar Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here