SERIAN: Lebih 300,000 pekebun kecil getah seluruh negara akan mendapat manfaat apabila paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dinaikkan kepada RM5.10 sekilogram berbanding RM4.60 sekilogram sebelum ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata harga baharu getah jenis SMR 20 FOB itu turut membabitkan harga getah sekerap peringkat ladang mengikut wilayah.

Katanya, harga baharu itu yang berkuat kuasa 1 September lalu diharapkan dapat membantu pekebun kecil getah di negara ini, selain sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup golongan itu.

Malah, beliau yakin usaha itu dapat merangsang aktiviti pengeluaran getah, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai antara eksport komoditi utama negara yang sedikit terjejas berikutan ketidaktentuan harga komoditi berkenaan sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek NKEA – Projek Rubber Block Planting (RBP) Siburan, di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here