NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan bertanggungjawab mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), National Meat & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., enam tahun lalu.

Hakim Zamri A. Bakar turut menjatuhkan hukuman sama ke atas bekas kerani sebuah bank, Johari Mohamad, 47, selepas turut didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh sehingga keputusan rayuan dan mengekalkan kos ikat jamin RM15,000.

Rafizi, didakwa atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan akaun bank Mohamad Salleh kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siapa yang tidak mengenali Ahli Parlimen Pandan berkenaan?

Boleh dikatakan, rakyat negara ini majoritinya mengenali Rafizi yang sudah banyak kali dibuktikan memfitnah oleh mahkamah.

Reputasi buruk Rafizi sudah menjadi liabiliti kepada PKR serta Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.

Pada 31 Oktober 2016, Rafizi diperintah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail dan syarikat tersebut.

Pada tahun 2016 juga, Rafizi telah tiga kali dijatuhkan hukuman atas kesalahan berbeza di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, dua daripada sabitan tersebut, Rafizi dikenakan denda dengan masing-masing berjumlah RM1,800 bagi kesalahan dengan sengaja mengaib dan membangkitkan kemarahan ahli UMNO serta RM1,950 lagi bagi kesalahan menganjurkan perhimpunan Blackout 505 di Padang Merbok pada 2013.

Pada 14 November 2016, Rafizi dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas tuduhan memiliki dan mendedahkan satu halaman Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) pada bulan Mac 2016.

Dengan hukuman terbaharu penjara 30 bulan itu, adakah Rafizi tidak boleh bertanding apada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang?

Rafizi masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan dan buat masa ini kedudukan beliau selaku Ahli Parlimen Pandan adalah kekal.

Jadi, masih terlalu awal untuk menentukan kedudukan Ahli Parlimen Pandan itu selepas beliau dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Kes tersebut hanya akan menjadi muktamad selepas semua proses perundangan berkaitannya diselesaikan sepenuhnya.

Jangan pula disalahkan mahkamah yang mendapati Rafizi didapati bersalah atas kesalahannya itu.

Mahkamah hanya menjalankan tugasnya berdasarkan pasukan penyiasatan yang melakukan pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Pandan berkenaan.

Rafizi juga mempunyai pasukan pembelaan yang membela dirinya.

Jangan pula dituduh mahkamah di negara ini dibayar dan dipengaruhi oleh pihak tertentu kerana keputusan tidak memihak kepada Rafizi.

Persoalan akhirnya, insafkah Rafizi dengan segala hukuman yang disabitkan terhadapnya?

Adakah masyarakat masih mahu memberikan kepercayaan kepada Rafizi selepas semua fitnah yang dilakukannya sebelum ini?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here