KUALA LUMPUR, 10 Sept – Setiap cadangan serta pandangan yang dikemukakan setiap rakyat sentiasa dipertimbangkan serta diterjemahkan pihak kerajaan dalam penyediaan bajet negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyediaan bajet tidak terhad kepada cadangan pegawai-pegawai kerajaan sahaja malah setiap rakyat turut berpeluang bersama-sama membangunkan negara.

Cadangan, pandangan dan kritikan membina daripada segenap lapisan masyarakat – tidak kira sama ada badan-badan bukan kerajaan, usahawan-usahawan, korporat, golongan belia dan profesional, penduduk-penduduk luar bandar dan ramai lagi diterima, kata beliau dalam catatan terbaharunya dalam tweeter dan blognya NajibRazak.com di sini hari ini.

“Inisiatif itu telah diteruskan pada setiap tahun sejak 2012,” katanya lagi.

Pada Bajet 2015 menurutnya, beberapa cadangan daripada Lim Boon Chon yang mencadangkan pengurangan cukai pendapatan individu, Abdul Rahman Kamis mencadangkan pemberian diskaun 20 peratus kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah dipertimbangkan dan diumumkan dalam bajet berkenaan.

Najib berkata amalan itu akan diteruskan, dan satu laman khas disediakan supaya semua rakyat berpeluang memberikan cadangan dan membantu membentuk Bajet 2016 di https://najibrazak.com/bajet2016.

“Kemukakanlah sebanyak cadangan yang mungkin dalam laman mikro Bajet 2016 agar kita dapat bersama-sama membentuk masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata dalam Bajet 2016 penghuraian lanjut mengenai hasil tambahan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan bagaimana ia dibelanjakan turut akan dilaksanakan.

Bajet 2016 yang merupakan bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dibentangkan pada bulan hadapan.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here