Indonesia

Kemajuan pesat teknologi internet kadang kala membawa kesan negatif, malah tersangat buruk bagi keselamatan negara. Darinya orang boleh belajar membuat pesawat drone, bom dan segala macam senjata berbahaya yang lain.

Agus Wiguna, seorang penjual bakso di Bandung, dipercayai belajar membuat bom jangka yang menggunakan paku melalui internet. Dan dengan bom itu dia merancang meletupkan sebuah gereja dan beberapa kedai makan.

Malangnya, bom berkenaan meledak sebelum diletupkan. Mungkin disebabkan Agus belum tamat belajar cara-cara membuatnya, atau mungkin sumber internet yang dipelajarinya tidak memberikan maklumat lengkap cara membuat bom berkenaan

Rahsia Agus membuat bom tersebar selepas rumah sewa tempat dia menginap di daerah Buah Batu, Bandung, bersama tiga yang lain, meletup pada Sabtu 8 Julai lalu.

Hasil pemeriksaan polis di rumah sewa Agus menemui sebilangan perkakas membuat bom, termasuk paku berukuran 5 sentimeter.

Polis dan pemerintah kota Bandung berkata, ledakan bom berkenaan akibat kesalahan teknik. Berdasarkan buku catatan yang ditemui polis, bom yang sedang dalam proses pembuatan itu sepatutnya di letupkan di Café Bali di Jalan Braga, Rumah Makan Celengan di Astana Anyar, dan gereja Buah Batu.

Agus bersama rakan-rakannya ditangkap dan polis masih mengkaji semua catatan daripada buku harian serta yang dicoret di dinding rumah sewa mereka.

Namun siapakah Agus Wiguna…?

Berdasarkan kad pengenalan Agus si penjual bakso itu berusia di bawah 22 tahun dan masih berstatus pelajar universiti.

Yang menimbulkan tanda tanya apakah motif Agus membuat bom berkenaan. Yang kita ketahui dia merancang meletupkan kedai makan dan sebuah gereja tetapi atas alasan apa perancangannya itu.

Meskipun letupan ini tidak menyebabkan kematian, polis cuba mengaitkannya dengan letupan enam bulan lalu, juga di Bandung. Letupan pada 27 Februari lalu berlaku di Taman Pandawa.

ISIS dikatakan perancang dalam serangan Februari lalu. Namun apakah perancangan Agus juga dirangsang oleh ISIS, atau Jemaah Islamiah, JI, yang terlibat dalam serangan di Bali pada 2002.

Yang jelas, serangan Februari lalu juga menggunakan bom paku, sama seperti yang digunakan Agus. Apakah kedua-dua serangan itu ada kaitan. Sampai sekarang belum ada ketentuan.

Sebenarnya Indonesia mengalami banyak serangan bom sebelum ini. Ada yang memakan korban dan ada yang tidak. Akibatnya Jakarta terpaksa menjalin kerja sama dengan negara-negara jiran bagi mengatasi serangan-serangan berkenaan, yang turut melibatkan warga asing, termasuk Azahari Husin dan Noordin Mohd Top warganegara Malaysia itu diburu polis selepas kejadian pengeboman Bali pada 2002.

Pemburuan dua warga Malaysia itu tamat selepas kedua-duanya mati dalam pertempuran dengan polis.

Terlalu banyak alasan digunakan dalam keganasan-keganasan di negara jiran Malaysia itu. Antaranya perbezaan agama, membantah keputusan kerajaan, perselisihan etnik serta suku kaum dan sebagainya.

Namun rencana ini hanya memberikan tumpuan pada keganasan yang berpunca daripada pengganas antarabangsa yang dinamakan IS atau Daesh, serta kumpulan Jemaah Islamiah, JI, di Indonesia.

Antara letupan yang memakan paling banyak korban adalah peristiwa Bali pada 12 Oktober 2002. Seorang penyerang meletupkan dirinya dalam sebuah pusat hiburan, Paddy’s Pub semasa ratusan, atau mungkin ribuan remaja asing terkinja-kinja kegembiraan serta mabuk. Dan 20 saat kemudian satu lagi letupan berlaku. Kali ini dalam sebuah van yang di parkir di hadapan Sari Club.

Punca letupan ini mudah difahami, apabila masyarakat Islam dalam perkumpulan JI muak dengan kegiatan maksiat yang melampau di tempat-tempat hiburan di pulau peranginan Bali. Seramai 202 orang terbunuh dalam dua letupan berkenaan dan beratus-ratu lagi cedera. Antara yang terbunuh 88 orang warga Australia.

Kejadian itu merenggangkan hubungan Indonesia dan Australia, tetapi apabila pemimpin JI, Abu Bakar Bashir dihukum mati, Australia memulihkan kembali hubungan diplomatik dengan Indonesia. Turut menerima hukuman dalam serangan itu Ali Imron, Amrozi dan Idris.

Banyak lagi serangan yang dikaitkan dengan ISIS berlaku selepas itu. Antara yang popular peristiwa pengeboman dan tembak-menembak di Jalan Thamrin, Jakarta pada 15 Januari tahun lalu.

Serangan itu bukan tanpa amaran. Sebaliknya agensi berita AFP pada 20 Disember 2015 telah pun mengeluarkan amaran bahawa Indonesia kini berada dalam tahap amaran keganasan tertinggi berikutan kejayaan pasukan keselamatan menggagalkan tiga percubaan serangan bunuh diri oleh anggota ISIS.

Polis bersiap siaga untuk menghadapi serangan yang dijanjikan, tetapi serangan berlaku juga dekat pasar raya Sarinah di Jalan Thamrin yang sentiasa sibuk. Ini menunjukkan pengganas IS atau JI atau apa saja namanya, lebih bersedia untuk melancar serangan.

Perlu diingat, perancangan serangan pengganas telah dibuat jauh lebih lama daripada persediaan pasukan keselamatan mematahkan serangan mereka.

Oleh itu, pesanan untuk pasukan keselamatan, termasuk di Malaysia, hentikan bercakap besar bahawa mereka mampu menggagalkan serangan Daesh, tetapi tingkatkan usaha dan pengawasan bagi melindungi rakyat daripada bahaya kumpulan pengganas yang dijangka mendapat bantuan negara-negara kuasa besar yang tidak suka melihat dunia aman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here