KUALA LUMPUR, 9 Sept – Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri sesi pagi dengan ditutup kepada 1,599.11 pada tengah hari Rabu, naik 11.99 mata atau 0.76 peratus berikutan sokongan belian terhadap saham mewah terpilih diterajui MISC.

MISC naik 19 sen kepada RM8.40, Genting meningkat 10 sen kepada RM4.07, Public Bank menokok 12 sen kepada RM17.98 dan CIMB menambah enam sen kepada RM4.78, manakala Digi.com dan Maxis naik tujuh sen setiap satu masing-masing kepada RM5.25 dan RM6.59.

Indeks petunjuk pasaran utama itu diniagakan dalam jajaran 7.06 mata, dibuka lebih tinggi kepada 1,597.90, dan mencecah paras tertingginya pada 1,603.73 mata.

Seorang peniaga berkata peningkatan sentimen dalam pasaran ekuiti global telah meningkatkan moral dagangan dan membawa kepada aktiviti belian saham murah terpilih dalam pasaran tempatan.

“Bursa diniagakan tinggi sejajar dengan kebanyakan bursa serantau lain.

“Prestasi positif di Wall Street semalaman dan kenaikan saham China mencetuskan suasana positif dan menarik pelabur untuk membeli secara berpilih saham bernilai untuk dibeli di sini,” katanya.

Di pasaran serantau, Indeks Komposit Shanghai China melonjak 1.69 peratus pada tengah hari kepada 3,224.12, Nikkei 225 Jepun meningkat 5.47 peratus kepada 18,380.00, dan Hang Seng Hong Kong naik 2.97 peratus kepada 21,889.54.

Di pasaran tempatan, Indeks FBM Emas meningkat 93.56 mata kepada 10,971.96, Indeks FBMT100 naik 88.75 mata kepada 10,698.96 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 96.54 mata kepada 11,480.30.

FBM 70 meningkat 129.10 mata kepada 11,743.10, FBM Ace naik 17.80 mata kepada 5,326.49, manakala Indeks Kewangan menokok 69.75 mata kepada 14,096.37, Indeks Perladangan melonjak 65.35 mata kepada 6,847.85 dan Indeks Perusahaan menambah 18.10 mata kepada 3,050.89.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 492 berbanding 236, manakala 261 kaunter tidak berubah, 824 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.30 bilion saham bernilai RM962.60 juta.

Dalam kalangan kaunter cergas, Media Shoppe susut satu sen kepada 13.5 sen, AirAsia meningkat 5.5 sen kepada RM1.05, IFCA MSC naik tiga sen kepada 84.5 sen, manakala Frontken menambah setengah sen kepada 17 sen.

British American Tobacco menerajui kaunter untung utama meningkat 42 sen kepada RM61.68, manakala kaunter rugi utama, Shangri-la Hotel, jatuh 16 sen kepada RM6.12.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here