IMF

Pihak pembangkang setiap hari tanpa gagal pasti akan memuat naik apa sahaja berita, pandangan dan tulisan yang bertujuan memburuk-burukkan Malaysia di mata dunia. Selain isu politik pengurusan ekonomi dan kewangan negara juga menjadi sasaran. Antara isu yang sering dilaung-laungkan pembangkang sebagai punca kepada segala dakwaan kekalutan ekonomi negara ialah isu berkaitan dana 1MDB. Isu ini merupakan peluru penting pembangkang dan masih terus digunakan sehingga kini.

Lebih menarik manipulasi pembangkang dalam isu ini seperti tiada kesudahan walaupun rakyat sudah mula hilang minat terhadap hal ini. Jelas sekali sebenarnya pembangkang mengalami krisis isu dan 1MDB dilihat sebagai medan terpenting bagi membuktikan Kerajaan sedia ada sebagai korup dan tidak bertanggungjawab. Dakwaan buruk yang dilemparkan terhadap ekonomi Malaysia bukan sahaja dilakukan di peringkat dalaman, malah kempen serupa turut digerakkan di luar negara. Sebagai memenuhi tuntutan politik dan mencapai matlamat, pembangkang sanggup bertindak memberi gambaran buruk tentang negara sendiri di mata dunia.

Namun begitu, satu persatu helah dan dakwaan pembangkang semakin mudah untuk dipatahkan. Baru-baru ini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebuah badan terpenting dalam urusan ekonomi dan kewangan dunia telah menaikkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2017 kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus dalam unjuran sebelumnya. IMF mengumumkan perkara ini dalam Laporan Kemaskini Unjuran Ekonomi dunia terkini.

Malah Kaunselor Ekonomi merangkap Pengarah Jabatan Penyelidikan IMF, Dr Maurice Obstfeld menyuarakan rasa senang dengan pencapaian ekonomi negara dan beliau mengakui Malaysia kini berada di landasan ekonomi yang stabil kerana dasar monetori negara disifatkan sebagai berkesan. Malah Obstfeld turut memuji kejayaan dan usaha Kerajaan dalam mengekalkan kemapanan ekonomi melalui gaya pengurusan ekonomi sedia ada dan ini secara tidak langsung menerbitkan sikap optimis IMF terhadap ekonomi negara.

Ini merupakan kejayaan terbesar Kerajaan sedia ada dan wajar diberikan perhatian secara meluas kerana mampu menutup mulut pembangkang yang selama ini telah menjaja cerita tidak benar tentang dongeng kelembapan ekonomi negara. Laporan IMF ini menjadi sebab utama mengapa cerita-cerita rekaan pembangkang berkenaan 1MDB boleh dianggap sebagai mainan politik semata-mata. Jika benar 1MDB memberi kesan besar terhadap ekonomi negara, mengapa IMF menyatakan keyakinan tinggi terhadap pengurusan dan pentadbiran kewangan Malaysia dan langsung tidak menyatakan rasa curiga atau ragu-ragu dengan kaedah serta dasar sedia ada?

Sudah tentu pembangkang sudah bersedia dengan hujah berikutnya untuk menafikan laporan IMF ini, tetapi di peringkat Kerajaan laporan ini penting sebagai pemangkin semangat dan tonik keyakinan baru yang harus diberikan kepada rakyat untuk terus mempercayai pentadbiran sedia ada. Pembangkang perlu pantas mencari isu lain kerana setakat ini semua isu yang dibawakan berjaya dipatahkan dengan bukti-bukti kukuh berasaskan kepada laporan penuh berkredibiliti daripada badan-badan utama dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here