PENYANYI Aishah Aziz atau nama sebenarnya Nur Aishah Aziz, 20 mengaku bahawa perubahan imej yang dilakukan itu dibuat secara spontan apabila artis ini memilih untuk mewarnakan rambut dengan gabungan ungu dan kelabu telah mengundang reaksi pelbagai pihak.

Namun beliau enggan melatah dengan komen negatif yang diberikan oleh orang ramai. “Sebenarnya saya tidak merancang mewarnakan rambut kerana tujuan asal saya ke salun adalah untuk memotong dan membuat rawatan rambut. “Secara spontan saya membuat keputusan menggabungkan dua warna kegemaran iaitu ungu dan kelabu. Saya enggan ambil pusing kata-kata orang kerana berpendapat setiap individu mempunyai pandangan tersendiri. “Menarik juga membaca komen-komen yang ditinggalkan di akaun Instagram milik saya kerana tidak sangka orang memberi perhatian kepada perlakuan dan imej saya. “Biarlah jika ada pihak kata saya meniru imej Kylie Jenner atau saya nampak tua dengan warna rambut ini, saya terima saja. “Jujur saya katakan, ummi saya juga tidak menyukai imej baru saya ini namun dia menegur secara baik,” katanya sambil ketawa.

Aisyah yang juga bekas peserta program Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), berkata beliau sudah lama menyimpan impian untuk menggubah warna rambut, tetapi tidak mempunyai keberanian dan kekuatan berbuat demikian.

Dalam perkembangan terbaharu, beliau yang kini mengikuti program Honda Family Roadtrip kelolaan stesen radio Hot FM di Perak, meluahkan rasa teruja diberikan kesempatan meneroka segenap pelusuk negeri-negeri di Malaysia. “Saya begitu teruja dipanggil oleh Hot FM kerana belum pernah menjejakkan kaki ke Perak. Sukar untuk saya ungkapkan pengalaman berada dekat dengan peminat di kawasan-kawasan luar bandar. “Sedikit sebanyak dapat juga saya melihat Perak dan berkesempatan untuk beramah mesra dengan peminat luar bandar.

Saya juga sempat menjamah nasi vanggey yang popular di negeri Perak,” katanya Penyanyi kelahiran Singapura itu turut berkongsi muzik video bagi single terbaharu, berjudul `Pilihan Sejati’ ciptaan Aizat Amdan yang sudah selesai jalani penggambaran dan bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here