DALAM satu sidang media kira-kira jam 2.10 pagi tadi waktu Malaysia, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump secara rasminya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Pada masa yang sama juga, Trump mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dalam beberapa tempoh masa yang akan datang.

Setelah hampir setahun diangkat menjadi presiden, akhirnya Trump mengotakan janji pilihan rayanya untuk ‘memberikan’ kota suci umat Islam itu kepada Israel. Langkah ini mungkin menjadi satu tamparan paling hebat dan detik paling malang buat umat Islam sejak negara haram Israel itu ‘didirikan’ pada 1948.

Di mana Arab Saudi?

Sewaktu Dunia Islam sibuk bercakaran sesama sendiri, AS dan Israel jugalah yang untung. Arab Saudi yang selama ini kononnya adalah pemimpin Dunia Islam, akhirnya terbukti menjadi negara yang paling banyak menganiaya negara Islam yang lain. Lihat sahaja kepada krisis diplomatik Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Qatar yang masih tidak berkesudahan sehingga ke hari ini. Lihat pula kepada peperangan dan krisis kemanusiaan paling teruk yang kini disaksikan di Yaman. Begitulah juga krisis dan ketidakstabilan politik di Lubnan. Semua episod malang ini direncana sendiri oleh satu negara Arab yang kononnya penjaga dua kota suci umat Islam. Dan negara itu kini dilaporkan sedang berkonspirasi dengan Israel untuk menangani pengaruh Iran.

Sewaktu AS mula-mula mengumumkan kesediaannya untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel beberapa hari lalu, apa yang kita dengar daripada kebanyakan negara Islam hanyalah ‘amaran berlapik’. Tidak ada satu pun yang betul-betul tegas dan keras melainkan amaran yang dilaungkan oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang mengancam untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Apakah negara-negara Islam yang lain, khususnya negara-negara Arab, sudah menjadi pengecut dan pak turut kepada AS? Kita percaya persoalan itu ada benarnya.

Kemenangan Besar Untuk Israel

Hari ini Israel sudah boleh tersenyum dengan lebih lebar kerana apa yang diimpikannya selama ini akhirnya ditunaikan Trump setelah polisi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘milik’ Israel itu sebenarnya sudahpun diluluskan AS sejak bertahun-tahun lamanya iaitu pada 1995. Hanya Trump sahaja yang terbukti mempunyai keberanian untuk ‘melaksanakan’ polisi tersebut secara rasmi sejak Bill Clinton menerajui negara tersebut. Di pihak Israel pula, negara haram itu sebenarnya sudah pun mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya sejak hampir 40 tahun yang lalu apabila ia meluluskan Undang-undang Jurusalem pada 1980.

Hakikatnya, Israel memang sudahpun menduduki dan ‘merampas’ Baitulmaqdis selepas berakhirnya perang Arab-Israel pada 1967. Malah, ia jugalah yang mempunyai autoriti keselamatan di kota suci tersebut. Ini bermakna pengiktirafan yang dibuat Trump sebenarnya tidak akan begitu memberi kesan kepada komposisi penduduk di Baitulmaqdis, setidak-tidaknya buat masa sekarang. Tambahan pula, kota suci untuk Islam, Kristian dan Yahudi itu pada waktu ini adalah dibawah pengawasan dan kedaulatan antarabangsa. Oleh kerana itu jugalah, tidak ada mana-mana kedutaan pun yang terletak di kota suci tersebut pada hari ini.

Tetapi pengumuman Trump pagi tadi tentunya sudah memberikan satu kemenangan besar buat Israel. Malah, Perdana Menterinya Benjamin Netanyahu terus menggesa dunia untuk sama-sama mengiktiraf pemilikan Israel ke atas Baitulmaqdis sebaik sahaja Trump selesai membuat pengumumannya pagi tadi. Bagi Trump pula, langkah yang diumumkan itu akan terus menaikkan popularitinya dalam kalangan ahli Kongres dan penyokong sayap kanan di AS.

Baitulmaqdis sejak sekian lama disifatkan sebagai ‘garisan merah’, menandakan sebarang pencabulan atau ‘rampasan’ kota suci itu tentunya akan mencetuskan ketegangan antarabangsa. Pengiktirafan yang diberikan Trump kepada Israel nampaknya akan memberikan kesan langsung kepada pelan damai Palestin-Israel yang sedang diusahakan AS sendiri. Dalam erti kata lain, ianya berisiko untuk meruntuhkan terus rundingan damai tersebut. Manakan tidak, sedang ia menjadi orang tengah dalam pemulihan hubungan Palestin-Israel, ia memilih pula untuk menyebelahi negara haram tersebut.

Prospek Keamanan ‘Lebur’

Langkah AS pagi tadi sudah tentu menjadi simbolik bahawa negara Uncle Sam itu mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Baitulmaqdis, sesuatu yang tidak pun diiktiraf oleh komuniti antarabangsa. Protes dan demonstrasi oleh penduduk Palestin dan masyarakat antarabangsa nampaknya sudah pun mengambil tempat dan ianya dijangkakan akan terus berlaku dalam tempoh terdekat. Keputusan AS dalam hal ini tidak diragukan lagi akan ‘membunuh’ terus prospek keamanan di Timur Tengah dengan memberikan ‘kuasa’ dan ruang kepada pengganas. Kesannya, dunia akan terus melihat konflik Palestin-Israel yang bakal terus berpanjangan.

AS bukanlah sebuah negara pendamai. Malah ianya adalah negara yang sama sekali tidak boleh dipercayai. Tindakan Trump yang ‘menentukan’ nasib Baitulmaqdis sebelum rundingan sempat bermula nyata memperlihatkan bahawa negara itu tidak layak bercakap mengenai keamanan. Keamanan apa yang hendak dicapai dengan langkah berat sebelah seperti itu? Langkah AS itu secara terang-terangan melanggar ketetapan antarabangsa, membayangkan betapa situasi anarki akan terus kita lihat di Timur Tengah. ‘Bermain’ dengan status quo sedia ada tentunya hanya akan terus menyahstabilkan rantau tersebut.

Detik Hitam Dalam Lipatan Sejarah

Apa pun, tarikh 6 Disember 2017 bakal menjadi satu detik hitam dalam sejarah moden konflik Palestin-Israel. Reaksi masyarakat antarabangsa akan kita lihat sepanjang minggu ini dan untuk beberapa tempoh akan datang. Malaysia, sebagai sebuah negara Muslim yang sememangnya dikenali atas keprihatinan dan perjuangan bersama rakyat Palestin, boleh mengambil tindakan afirmatif mengenai hal ini. Secara kebetulan, buat masa ini, kebanyakan pemimpin Islam negara sedang berkampung di Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017. Maka sesuai sangatlah medium itu digunakan untuk UMNO menunjukkan solidariti bersama Palestin.

Begitulah juga dengan pemimpin daripada parti-parti yang lain hatta pemimpin pembangkang sekalipun. Inilah masanya untuk semua umat Islam di negara ini bersatu hati mengutuk langkah Trump dan AS dalam hal ini. Malaysia hanyalah sebuah negara kecil, suara kita mungkin tidak begitu diendahkan dan didengari. Tetapi setidak-tidaknya kita adalah negara yang tetap bersuara menyatakan pendirian yang tidak kurang tegas, bukannya menjadi negara pak turut dan boneka Amerika. Semoga sikap pengecut sesetengah negara Arab tidaklah ‘turun’ kepada kita.

SHARE
Previous articleKhairy Mahu UMNO Rapatkan Saf
Next articleAzmin Juga Mahu Jadi PM?
Nuh Abqari regards himself as a political scientist who actively does the outdoors, hiking and football in particular. Having led a modest life, he hates every overrated thing. Like Manchester United.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here