KISAH Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi musuh politik sejak sekian lama menjadi antara sejarah yang tidak boleh dipadam.

Perkara ini sebenarnya tidak dapat dinafikan oleh sesiapa sahaja termasuk oleh Mahathir dan Anwar sendiri.

Jika dilihat, peratusan untuk mereka bekerjasama adalah tipis jika melihat ‘kisah’ yang berlaku antara kedua-dua pemimpin politik berkenaan.

Namun kini, biarpun Anwar masih dipenjarakan atas kesalahan liwat yang didakwa oleh Mahathir sendiri, kedua-dua pemimpin berkenaan bersama dalam gabungan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Jika dilihat pada hirarkinya, Anwar dilihat lebih atas daripada Mahathir sebagai Ketua Umum Pakatan itu.

Terbaharu, Mahathir menyeru agar bekas musuh politiknya itu segera dibebaskan daripada penjara.

Bekas Perdana Menteri itu membuat gesaan berkenaan dalam satu kenyataan bersama dengan peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat (AS), Kimberly Motley.

Difahamkan, Motley mengadakan pertemuan dengan Mahathir bagi membincangkan keadaan semasa Anwar yang dianggap mereka sebagai seorang tahanan politik.

“Kami bersama-sama bersetuju Anwar harus segera dibebaskan dari penjara.

“Anwar adalah tahanan politik dan telah menanggung hukuman penjara lebih daripada 34 bulan.

“Kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan permintaan kami dengan serius dan demi keadilan dan hubungan antarabangsa Malaysia,” kata kenyataan tersebut.

Persoalannya di sini, ikhlaskah Mahathir mahu Anwar dibebaskan?

Jika ikhlas, Mahathir seharusnya bersungguh-sungguh menuntut pembebasan Anwar dan perkara itu seharusnya dilakukannya sendiri.

Adakah Mahathir kehabisan idea atau isu untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan berusaha untuk membebaskan Anwar dari penjara?

Setelah isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) gagal, maka isu Anwar dipenjara cuba dipanaskan kembali untuk mendapat simpati rakyat.

Adakah Mahathir lupa bahawa sejak berkawan dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu menjadi Perdana Menteri, imejnya sudah tercalar dan tidak lagi boleh dipercayai?

Adakah Anwar dan penyokongnya mempercayai Mahathir ikhlas dan serius mahu Anwar dibebaskan?

Umum pasti mengetahui, Mahathir begitu hebat dalam lakonannya. Mahathir juga jaguh dalam lakonan pusingan U.

Umum juga pasti tahu Anwar dipenjara kerana perbuatan jenayah setelah melalui proses perbicaraan yang panjang. Bertahun dan berbelas kali penangguhan prosesnya.

Adakah Mahathir tidak menghormati keputusan mahkamah membabitkan kesalahan liwat Penasihat PKR itu?

Ini kerana Mahathir memilih untuk mempolitikkan kes jenayah yang telah diputuskan hukumannya oleh mahkamah.

Satu lagi persoalan, banarkah Anwar merupakan tahanan politik?

Jika dilihat, tiada istilah atau banduan seumpama itu di negara ini meskipun ketika era kewujudan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan penahanan tanpa bicara suatu masa dahulu.

Jadi, adalah amat menghairankan apabila ada pihak mendakwa Anwar merupakan tahanan politik di negara ini.

Apa yang kita ketahui, di Malaysia ini tidak pernah ada tahanan politik walaupun semasa ada ISA.

Meskipun suatu masa dahulu ada ahli politik ditahan di bawah ISA, mereka masih berpeluang menyertai pilihan raya dan dilantik sebagai menteri atau ketua pembangkang.

Keadaan itu berbeza dengan di Myanmar apabila pemimpin prodemokrasi seperti Aung San Suu Kyi dikenakan perintah tahanan rumah dan tidak boleh melibatkan diri dengan politik.

Begitu juga keadaan sama di Afrika Selatan apabila Nelson Mandela dipenjarakan kerana memimpin gerakan untuk menentang dasar Apartheid di negara itu.

Di Malaysia, keadilan adalah saksama untuk pemimpin politik di negara ini.

Berbalik kepada menyeru Anwar dibebaskan, kenapa perkara ini tidak dilakukan Mahathir sejak awal lagi kenapa sekarang baharu dibuat?

Tentu ada niat dan agenda politik di sebalik tindakan Mahathir ini.

Dendam Mahathir hanya untuk kepuasan peribadinya. Bukan untuk pembelaan negara seperti yang didakwa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here