Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata, sebab partinya dianggap sebagai pembangkang yang ‘sesat’ di mata DAP hanyalah kerana mereka enggan tunduk kepada parti itu.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam yang menyifatkan PAS sudah menyimpang daripada perjuangan politiknya dan kini menjadi ‘pembangkang olok-olok’ dan ‘sesat’ sehingga dipuji Umno.

Idris berkata, kenyataan seumpama itu hanya menunjukkan sikap sebenar DAP sebagai parti politik yang angkuh.

“Sesat di neraca Lim apabila PAS tidak boleh dicucuk hidung oleh DAP. Tidak mengapalah kalau hendak tuduh PAS sesat kerana mempertahankan prinsip perjuangan kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Lagi banyak Lim serang PAS dan perjuangan Islamnya lagi baik. Biar masyarakat tahu siapa Lim dan DAP yang sebenarnya. Baru perintah satu negeri sudah tunjuk belang sebenar,” katanya lagi, sambil menyifatkan kritikan DAP terhadap parti itu hanya akan menimbulkan kemarahan masyarakat, terutama orang Melayu.

Dalam sidang media semalam, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengambil tindakan keluar PAS kerana ingin bersama parti yang benar-benar melawan BN.

“Mahfuz mahu pakatan pembangkang yang boleh bersihkan Malaysia dari skandal Felda, 1MDB, nak benar-benar lawan BN bukan nak kerjasama secara senyap-senyap, curi-curi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here