Pendidikan seks dilihat penting dalam usaha untuk mencegah berlakunya kes-kes rogol yang makin meningkat khususnya buat anak-anak bawah umur kini. Pakar motivasi, Profesor Datuk Dr Muhaya Mohamad berkata, ibu bapa yang menolak pendidikan tersebut adalah jahil.

“Anak-anak dan ibu bapa kena ada ilmu ini, kena tahu pegang di mana boleh dan tak boleh, sebab itu ibu bapa yang tolak ilmu ini adalah jahil.

“Rugi kalau ibu bapa tidak bersetuju sebab bila tidak diajar atau ajar secara berkias-kias, sebab itulah wujud interpretasi yang tidak betul,” katanya ketika Wacana Siri ke 51: Perogol Dalam Rumah di Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Tambahnya lagi, ibu bapa harus anggap bahawa pendidikan itu diajar secara objektif dan bukannya secara berlebih-lebihan.

“Kita ajar secara objektiflah, macam kehidupan di mana ada rambut, mulut kepala dan sebagainya begitu jugalah dengan pendidikan seksual ini, jangan sensasikan macamlah ia perkara negatif,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Muhaya mendakwa ibu bapa masa kini ramai yang tiada ilmu mendidik anak.

“Saya lihat ramai yang tidak ambil kisah ilmu ‘parenting’, yang mereka tahu, nak anak sahaja tapi selebihnya tidak ambil peduli.

“Anak ini amanah daripada ALLAH SWT, kena jaga dengan sebaiknya. Ramai yang tidak sedar perkara ini sebab itu soal penjagaan anak diambil lewa sahaja,” katanya lagi.

 -SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here