Kelantan

SESEORANG itu pasti akan dihukum jika melakukan kesalahan terutama kesalahan berat yang memerlukan hukuman setimpal dikenakan.

Adakah seseorang itu akan dihukum jika tidak melakukan kesalahan?

Sudah tentu tidak dan jika kita tidak mahu dihukum, seseorang itu seharusnya mengelak diri daripada melakukan kesalahan.

Sifirnya begitu mudah sekali.

Tetapi kenapa masih ada suara-suara yang membantah apabila kerajaan negeri Kelantan meminda Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Sebanyak 33 fasal dalam enakmen tersebut dipinda bagi memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 (Pindaan 1987) dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang masih terikat dengan kelulusan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 diluluskan di Parlimen dilaksanakan dengan lancar.

Di antara pindaan tersebut adalah hukuman sebat di khalayak ramai, membenarkan penguatkuasa menggunakan gari dan video sebagai bukti dalam perbicaraan di mahkamah.

Adakah menjadi kesalahan hukuman sebat dilakukan secara terbuka?

Sudah tentu tidak. Ini kerana pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai dilakukan dengan kaedah mendidik dan bukannya menghukum.

Hukuman rotan ke atas kesalahan zina, mukadimah zina, meminum minuman keras, bersubahat dan liwat mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan sudah lama dilaksanakan sejak tahun 1987 lagi di dalam penjara.

Justeru, tidak timbul isu jika hukuman ini dilaksanakan di khalayak umum kerana hukuman rotan sudah lama dijalankan ke atas pesalah syariah di dalam penjara yang disaksikan pegawai agama dan penjara.

Hukuman sebat di khalayak ramai mengikut hukum syariah Islam tidak menyakitkan atau menganiaya pesalah kerana ianya berbentuk didikan.

Apa yang penting, ia menepati kehendak Islam dan al-Quran.

Hukuman syariah juga lebih ringan jika dibandingkan dengan hukuman sivil.

Sehubungan itu, orang bukan Islam tidak perlu bimbang kerana undang-undang syariah yang lebih rendah hukumannya itu langsung tidak melibatkan mereka.

Hukuman sebatan yang dikenakan dalam undang-undang sivil lebih berat kerana di dalam sivil, ada hukuman mati.

Tetapi, dalam hukuman syariah, tiada hukuman mati. Malah, mahkamah syariah hanya memerintahkan hukuman yang dibenarkan dalam Islam.

Islam itu indah. Hukumannya untuk mengajar dan menimbulkan rasa gerun.

Pada zaman Rasulullah SAW dahulu pun tidak ramai yang dihukum kerana ramai yang gerun mendengar hukumannya.

Bagi menjatuhkan hukuman juga bukan satu perkara yang mudah. Proses itu amat teliti bagi memberikan keadilan kepada semua.

Bukan sewenang-wenangnya hukuman sebat akan dijatuhkan.

Untuk rekod, hukuman rotan secara terbuka di khalayak ramai sebenarnya bukan menjadi perkara baharu lagi di negara ini.

Hukuman sebat secara terbuka dilaporkan pernah dilakukan di sebuah mahkamah syariah di Sabah pada 2016.

Hukuman sebat terbuka juga dibuat di negara jiran, Indonesia.

Di bawah undang-undang Syariah yang dikuatkuasakan pada 2003, penduduk Aceh, Indonesia yang didapati bersalah berjudi boleh dijatuhi hukuman rotan sebanyak 12 kali.

Jadi hukuman ini bukan perkara baharu dan tidak perlu dipolemikkan.

Tetapi bagi sesetengah pihak yang sememangnya tidak mahu undang-undang Islam dilaksanakan di negara ini, mereka akan mengemukakan bermacam-macam hujah untuk menentangnya.

Hakikatnya, kita tidak perlu melayan bantahan-bantahan kelompok yang sememangnya sejak awal lagi bagaikan ‘cacing kepanasan’ apabila soal menegakkan syariat Islam dilakukan.

Mereka terus memberi pandangan negatif termasuklah kononnya undang-undang syariah itu hanya berkaitan dengan menghukum sahaja.

Apa yang anehnya, undang-undang yang diluluskan oleh DUN Kelantan itu melibatkan orang Islam sahaja.

Oleh itu puak-puak bukan Islam termasuk dalam kalangan komponen Barisan Nasional (BN) tidak perlulah menyibuk.

Secara tegasnya, kita boleh memberitahu mereka, ini urusan orang Islam, biarlah orang Islam sendiri yang menguruskannya.

Kalau ada dalam kalangan orang Islam termasuklah kelompok yang kononnya berada dalam kategori sebagai ‘Melayu berjaya’ mahu menentang, biarkan sahaja mereka.

Memang sia-sia jika kita melayan golongan tersebut yang terus ‘menyalak’ pada masa kita mahu menegakkan perkara yang sudah termaktub di dalam al-Quran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here