Seorang pengarah syarikat perunding pengurusan aset adalah seorang daripada dua individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung pembelian sebuah hotel di London.

Seorang lagi ialah ketua unit harta syarikat perkhidmatan pos. Tahanan itu masing-masing berusia 45 dan 36 tahun.

Kenyataan SPRM menyatakan kedua-dua tahanan itu ditahan kira-kira jam 1 petang tadi ketika hadir memberi keterangan berhubung pembelian aset oleh Felda Investment Coperation (FIC).

Kata SPRM, mereka diminta memberi keterangan mengenai pembeliau hotel empat bintang di Kensington antara 2013 dan 2015 lalu.

“Ketika pembelian itu dibuat, masing-masing merupakan ketua penasihat korporat dan pengarah syarikat Raine and Horne,” kata agensi antirasuah berkenaan.

Berdasarkan siasatan SPRM, kedua-dua individu berkenaan disyaki memanipulasi harga hotel berkenaan.

Tindakan itu dipercayai menyebabkan FIC membayar harga lebih tinggi berbanding nilai pasaran, melibatkan puluhan juta ringgit.

SPRM dijangka akan mendapatkan kebenaran mahkamah bagi menahan reman dua individu berkenaan esok.

Setakat ini SPRM sudah merakam percakapan 11 saksi berhubung siasatan pembelian hotel berkenaan.

Penguat kuasa itu juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan dibuat bergantung kepada maklumat terkini yang diperolehi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, mengesahkan penahanan itu hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here