“Usaha Malaysia membantu pelarian Rohingya termasuk membina hospital medan Malaysia di Kem Pelarian Kutupalong, Bangladesh adalah tepat serta bukan satu pembaziran,” demikian kata delegasi Parlimen Malaysia yang baru pulang daripada melawat kem pelarian itu hari ini.

Delegasi terdiri daripada 13 Ahli Parlimen itu turut menyifatkan usaha Malaysia membantu etnik Muslim tersebut yang digerakkan melalui inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah berjaya membuka mata banyak pihak, khususnya kerajaan Myanmar terhadap nasib malang rakyat mereka sendiri.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku ketua delegasi itu berkata sebagai wakil rakyat, mereka dapat melihat dengan jelas penderitaan dan kemudahan yang diperlukan pelarian Rohingya di kem pelarian tersebut.

“Lawatan ini memberi kami gambaran tepat mengenai penderitaan yang dilalui etnik tersebut di kem-kem pelarian yang pada hakikatnya terjadi akibat tindakan tidak berperikemanusiaan kerajaan mereka sendiri.

“Jadi, sebagai anggota Parlimen, kami dapat lihat bahawa sokongan atau tindakan kerajaan Malaysia membantu pelarian Rohingya adalah sangat tepat sepertimana diperlukan kumpulan pelarian tersebut,” katanya pada sidang media sejurus tiba¬† di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi selaku timbalan ketua rombongan bagi lawatan tersebut. Selain wakil rakyat Barisan Nasional (BN), misi dua hari itu turut disertai dua Ahli arlimen Pas iaitu Siti Zailah Mohd Yusoff dan Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad serta dua wakil PKR iaitu Datuk Kamarudin Jaffar dan Fuziah Salleh.

Mengulas lanjut, Kiandee berkata walaupun sebelum ini ada dalam kalangan wakil rakyat pembangkang pernah mengkritik tindakan Malaysia membina hospital medan sebagai membazir, namun anggota delegasi termasuk pembangkang sependapat bahawa hospital yang bakal beroperasi selewat-lewatnya Januari depan itu adalah penting dan sangat diperlukan di sana.

Beliau berkata berdasarkan perbualan dengan pelarian tersebut, hospital medan yang akan dikelola sepenuhnya Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kekuatan seramai 140 petugas yang sedang rancak dibina itu amat ditunggu-tunggu dan mereka tidak sabar untuk menantikan kehadiran perdana menteri bagi merasmikannya kelak.

Sebelum ini, Najib dilaporkan berkata hospital medan yang sedang dibina berhampiran kem pelarian berkenaan boleh menempatkan sehingga 150 pesakit pada satu masa selain dilengkapi bilik pembedahan, x-ray serta bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak.

Dalam pada itu, Ab Aziz berkata delegasi itu juga sempat menyiapkan sebuah surau yang boleh digunakan oleh 300 jemaah pada satu masa, suatu kemudahan yang amat dinantikan komuniti Islam tersebut.

Sebelum ini, tiada kemudahan surau yang disediakan dan langkah Malaysia itu telah mengundang rasa terharu pelarian yang tergambar melalui kesungguhan mereka berdoa ketika pertama kali mendirikan solat di surau itu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here