Bahan api untuk penjana kecemasan yang memastikan hospital Gaza dan perkhidmatan sanitasi di wilayah ini beroperasi hanya bertahan 10 hari lagi, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), merayu bantuan segera.

Kekurangan bekalan itu berpunca daripada pertelingkahan antara kumpulan Hamas yang mentadbir wilayah ini dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat.

Kedua-duanya menandatangani satu perjanjian penyatuan Oktober lalu namun gagal memuktamadkan butiran berkaitan perkongsian kuasa.

Setakat ini, penjana kuasa berhenti di tiga daripada 13 hospital di sini dan 14 daripada 54 pusat perubatan, kata Ashraf Al-Qidra, jurucakap dilantik Hamas untuk Kementerian Kesihatan di wilayah miskin itu.

Pihak berkuasa di kemudahan terjejas berkata, mereka memindahkan pesakit kronik ke kemudahan kesihatan lain dan beroperasi dengan kapasiti terhad.

Dengan grid pembekalan elektrik di sini hanya antara empat hingga enam jam sehari kepada kira-kira dua juta penduduk -krisis rumit berpunca daripada permusuhan Hamas-PA- penjana kuasa sokongan adalah jaringan hayat untuk kemudahan penjagaan kesihatan dan sanitasi.

Di Hospital Durra untuk Kanak-Kanak di Bandar Gaza, yang biasanya merawat sehingga 180 pesakit sehari, majoriti daripada 90 katilnya kosong hari ini.

Doktor berkata, bahan api habis seminggu lalu dan perkhidmatan di kemudahan itu beroperasi secara minimum.

“Kami bekerja dalam mode penyelamat nyawa,” kata Pengarah Hospital, Majed Hamada kepada Reuters.

Katanya, doktor menyediakan penjagaan kesihatan utama dan dalam kes kecemasan, memindahkan pesakit ke hospital lain selepas menstabilkan mereka.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) di wilayah Palestin berkata, bahan api kecemasan untuk kemudahan kritikal di Gaza ‘akan kehabisan dalam tempoh 10 hari lagi.’

Katanya, perkhidmatan kecemasan dan diagnostik, unit jagaan rapi dan dewan pembedahan berisiko, begitu juga operasi 55 kolam kumbahan, 48 loji penyulingan air dan kemudahan kutipan sisa pepejal. -Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here