Pakatan Harapan

Pakatan Harapan (PH) dalam kempen-kempen berterusan mereka di medan ceramah atau ruang-ruang yang sesuai termasuk di media sosial sering melaungkan hal berkaitan pengukuhan demokrasi dan hak untuk bersuara secara bebas dan adil. Malah Kerajaan Barisan Nasional sering dikritik sebagai tidak demokratik dan menyekat kebebasan bersuara. Namun hal ini kini dipulangkan kembali kepada PH sama ada mereka benar-benar serius dalam memperjuangan demokrasi, kebebasan bersuara dan kebebasan media?

Pada 9 November 2017, Kerajaan Negeri Selangor membuat satu keputusan yang sebenarnya meletakkan dasar perjuangan demokrasi PH berada di ambang yang tidak menentu. Kerajaan Negeri yang ditadbir PH ini telah mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor supaya menghentikan langganan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian berkuatkuasa serta-merta.

Namun bukanlah satu tindakan mengejut untuk Kerajaan negeri yang ditadbir PH bersikap hipokrit seperti ini. Pada 12 Jun 2008 Kerajaan Negeri Selangor turut mengeluarkan arahan sama dengan melarang sebarang langganan kedua-dua akhbar popular itu. Jelas sekali sebenarnya kebebasan media berada dalam keadaan yang membimbangkan jika PH berjaya membentuk Kerajaan nanti.

Kerajaan BN pada hari ini telah memberikan ruang kebebasan bersuara dan kebebasan media yang cukup terbuka. Penerbitan akhbar oleh parti pembangkang tidak dihalang malah stesen televisyen milik Kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga telah mengorak langkah memanggil pemimpin pembangkang untuk mengutarakan pandangan dalam program-program televisyen berkaitan.

Namun, di pihak Kerajaan PH di Selangor, kelihatan mereka lebih gemar mendengar berita-berita yang sedap di telinga masing-masing sahaja. Mereka gentar untuk mendengar kritikan dan tidak berani untuk berdepan dengan berita-berita benar yang menegur cara dan kaedah pentadbiran di Selangor. Pujian dan ampu mungkin lebih baik berbanding kritikan demi masa depan rakyat.

Sehubungan itu, kita masih tidak memahami bagaimana agaknya media akan berfungsi nanti apabila PH berjaya dalam pilihan raya umum akan datang. Adakah penerbitan akhbar pro PH sahaja dibenarkan dan akhbar-akhbar yang dilihat mengkritik dan tidak sehaluan dengan pendirian Kerajaan akan diharamkan? Ini merupakan satu kebimbangan yang perlu dinyatakan dengan jelas. Badan-badan hak asasi manusia dan badan kebebasan akhbar yang sebelum ini lantang mengkritik BN, harus berfikir dengan waras dan adil tentang apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH di Selangor.

Hipokrasi seperti ini harus dikecam kerana tidak membawa apa-apa kebaikan kepada hal berkaitan kebebasan bersuara dan perkembangan demokrasi. Sesebuah Kerajaan perlu sedia mendengar sebarang kritikan dan bersedia untuk memberikan jawapan dan penjelasan yang munasabah dan bersesuaian untuk setiap kritikan yang dilemparkan. Tiada sebab untuk menutup mulut akhbar dengan cara seperti yang dilakukan oleh Kerajaan PH di Selangor ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here