Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) mengesahkan sedang melakukan rundingan dengan Pakatan Harapan (Harapan) untuk memastikan pakatan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya, P Waythamoorthy berkata, dengan harapan badan gerakannya dapat menjadi ahli parti yang kelima menyertai pakatan tersebut.

“Sekarang ini, kita dalam proses perundingan dengan parti pembangkang supaya Hindraf menjadi ahli kelima dalam Pakatan Harapan.

“Hindraf sudah berjumpa dengan empat pemimpin parti dalam Pakatan Harapan dan sedang menunggu restu daripada mereka untuk menyertai pakatan itu,” katanya.

Katanya, Hindraf telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menjadi sebuah parti politik dua bulan lalu dan sedang menunggu keputusan.

“Sejak 12 tahun ini, kita sentiasa memperjuangkan nasib orang India terpinggir dalam arus pembangunan negara.

“Jadi, cadangan Datuk Zaid Ibrahim supaya Pakatan Harapan untuk bekerjasama dengan kami adalah satu cadangan yang baik,” ujarnya.

Semalam, Zaid menggesa Pakatan Harapan supaya menjadikan Hindraf sebagai rakan sekutunya bagi menarik sokongan kaum India terhadap pakatan terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here