Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan kumpulannya diminta menarik balik serta mengugurkan tuntutan mahkamah terhadap penceramah terkenal, Dr Zakir Naik.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, kumpulan itu perlu berbuat demikian kerana Interpol sudah pun menolak permohonan India untuk mengeluarkan Notis Merah ke atas Zakir Naik.

“Hindraf dan kumpulannya harus menarik balik serta mengugurkan tuntutan mahkamah terhadap Zakir Naik demi menjernihkan hubungan antara kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, India telah menfailkan senarai tuduhan terhadap Zakir Naik yang juga pengasas Islamic Research Foundation dan Harmony Media Limited.

Kerajaan India mendakwa, beliau mempengaruhi belia melakukan aktiviti keganasan dan ucapan yang berbaur kebencian.

Bagaimanapun pada 16 Disember lalu, Interpol dilaporkan membatalkan pengeluaran Notis Merah terhadap Dr. Zakir Naik dan mengarahkan semua pihak menghapuskan dakwaan palsu terhadap Zakir Naik.

“Kami bersyukur kepada ALLAH atas pelepasan yang diberikan kepada pendakwah tersohor antarabangsa Zakir Naik oleh Interpol atas tuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan seperti yang didakwa oleh kerajaan India.

“Kami terpaksa melantik peguam dan mengorbankan masa dan tenaga untuk menangkis tuduhan banyak pihak terhadap Zakir Naik,” katanya lagi.

Notis Merah adalah permintaan bagi mana-mana negara untuk menjejak dan menangkap mana-mana individu untuk diekstradisi.

Ia dikeluarkan oleh Interpol berdasarkan permintaan sesebuah negara atau tribunal antarabangsa.

Bagaimanapun, ia bukan waran tangkap antarabangsa dan penggunaan Notis Merah hanya membawa maksud seseorang itu disyaki terlibat dengan jenayah dan tidak dihukum serta dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan.

“TIndakan Interpol itu sebagai amat tepat pada masanya kerana ini boleh membersihkan nama Zakir Naik daripada sebarang tuduhan yang melulu, prasangka, prejudis dan fitnah,” katanya lagi.

Sinar Harian

Artikel berkaitan: Interpol Cancels Red-corner Notice on Zakir Naik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here