Himpunan Solidariti Baitulmaqdis tidak menjemput parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) tertentu, sebaliknya memberi keutamaan kepada pemimpin atau wakil pertubuhan yang mereka wakili.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana pemimpin parti politik dan NGO yang tidak dinamakan untuk memberikan sokongan terhadap usaha itu.

“Dalam jemputan rasmi itu kita memanggil individu-individu dalam parti politik dan NGO yang mereka wakili. Namun semua pihak termasuk bukan Islam juga dijemput ke program ini.

“Kita telah menjemput Datuk Saifuddin Nasution, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Kamarudin Mohd Nor serta Dr Yusri Mohamad sebagai ahli-ahli panel kita.

“Kita akan menjemput Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia sebagai ucaptama disusuli ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya pada sidang media, di bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Himpunan Solidariti Perdana: Intifada Selamatkan Baitulmaqdis di Bangunan Perdana Putra, di sini, tengahari tadi.

Himpunan itu akan diadakan Jumaat ini selepas solat Jumaat jam 2 petang di Masjid Putra, di sini.

Ia sebagai bantahan terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat yang mengiktiraf cadangan untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota baharu negara haram Isreal.

Ahmad Zahid berkata, himpunan amam itu mensasarkan lebih 10,000 peserta dan pihaknya menggalakan orang ramai memberi sokongan tanpa mengambik kira latar belakang politik, agama, bangsa mahupun kaum.

“Kita menjangkakan lebih 10,000 orang hadir, namun kita mengalu-alukan lebih daripada itu.

“Ianya juga melibatkan pemimpin-pemimpin parti politik dan NGO bukan Islam di mana Kabinet yang saya pengerusikan minggu lepas dan hari ini telah mendapat sokongan daripada semua presiden dan pengerusi teramasuk daripada Jemaah Menteri,” katanya.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 250 wakil parti politik, NGO dan bukan Islam telah mengesahkan kehadiran mereka dalam himpunan bantahan itu esok.

“Kita akan menggantikan orang lain sekiranya mereka yang dijemput ini tidak dapat hadir dengan orang lain,” katanya.

Bagi melancarkan kehadiran dan pergerakan orang ramai ke himpunan ini, pihak polis akan menyediakan tempat letak kenderaan dan Nadi Putra pula menyediakan perkhidmatan bas secara percuma.

“Kita akan meletakkan seorang anggota polis trafik di setiap bas yang bergerak membawa penumpang supaya mudah ke masjid Putra,” katanya. – MalaysiaGazette

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here