Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi

PAKATAN HARAPAN (PH) yang diketuai DAP akan menganjurkan Himpunan Rakyat ‘ Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi ‘ di Selangor.

Berdasarkan apa yang diuar-uarkan termasuk oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, perhimpunan itu bertujuan untuk melawan rasuah, menentang cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta mahu melawan kezaliman.

Adakah itu sandiwara politik kononnya merekalah penentang rasuah nombor satu dalam negara ini?

Semua orang tahu apa yang sedang dihadapi oleh Guan Eng di mahkamah.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah menyalahgunakan kedudukan dan jawatan bagi mendapatkan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Tuduhan pertama, beliau selaku penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya negeri itu kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Guan Eng, 56 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan KOMTAR pada 18 Julai 2014.

Tuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam dituduh mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di alamat No. 25, Jalan Pinhorn pada harga yang dia tahu tidak sepadan dengan nilainya, daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No. 25, Jalan Pinhorn pada 28 Julai 2015.

Sebagai bekas pemilik banglo itu, Li Koon didakwa bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan banglo berkenaan di bawah harga pasaran di tempat dan tarikh yang sama.

Selain itu, umum juga mengetahui bagaimana bapa Guan Eng yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang dari semasa ke semasa terus menyerang Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM).

Kit Siang membidas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dengan mengatakan semua mata turut memerhatikan suruhanjaya tersebut dan sama ada Dzulkifli dapat memimpin badan anti rasuah yang bersih.

Kit Siang dipetik sebagai berkata Dzulkifli harus menyedari bahawa jika beliau (Dzulkifli) bertindak seperti ‘monyet yang mempunyai mata tetapi tidak melihat, ada telinga tetapi tidak mendengar dan ada mulut tetapi tidak berbicara’ mengenai skandal 1MDB, beliau akan menjadikan SPRM sebagai agensi anti-rasuah kleptokratik pertama di dunia.

Seriuskah Guan Eng dan Kit Siang dalam membanteras gejala rasuah?

Selain itu, jika benar Pakatan Harapan mahu melawan rasuah, kenapakah sehingga ke hari ini kerajaan negeri Selangor masih enggan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dilaksanakan oleh SPRM?

Bukankah dengan menandatangani IBR itu akan membuktikan ketelusan Pakatan Harapan sendiri dalam melawan rasuah seperti mana yang mereka canangkan?

Selain itu, jika mereka benar-benar telus, Pakatan Harapan yang turut disertai oleh PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN perlu mendesak Guan Eng bercuti sehingga kes beliau di mahkamah selesai.

Ini tidak, jika melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan sudah pasti mereka membuat seruan tersebut, tetapi apabila kena batang hidung sendiri, pelbagai hujah dikeluarkan.

Sebenarnya, Himpunan Rakyat ‘Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi’ tiada bezanya dengan beberapa perhimpunan haram sebelum ini yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang.

Adakah ia dilakukan bagi mengalih perhatian rakyat terhadap kemelut yang sedang dihadapi Pakatan Harapan?

PKR masih berhadapan de­ngan isu pesta arak, DAP masih belum selesai dengan masalah pemilihan dalam parti manakala PPBM pula terus menghadapi krisis dalaman yang menyaksikan seorang demi seorang pemimpinnya meninggalkan parti di bawah kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jadi, benarkah himpunan berkenaan tidak lebih daripada sandiwara politik terbaharu Pakatan Harapan?

Adakah pendekatan politik sedemikian terpaksa dilakukan kerana Pakatan Harapan sudah kehabisan modal untuk menyerang kerajaan?

Ini kerana, pelbagai tohmahan dan fitnah yang Pakatan Harapan sebarkan ternyata belum mampu mempengaruhi rakyat menyokong mereka.

Justeru perhimpunan seumpama itu diatur supaya rakyat terlupa isu yang dihadapi oleh pakatan berkenaan.

Dalam soal GST, Pakatan Harapan terus mahu memainkan sentimen rakyat dalam soal kutipan cukai. Sebab itulah dalam usaha menipu rakyat mereka menuduh pelaksanaan GST mempunyai kaitan dengan isu 1MDB.

Bagi mencapai cita-cita politik mereka, maka Pakatan Harapan berjanji untuk menghapuskan GST jika diberi peluang memerintah dalam pilihan raya umum akan datang sedangkan mereka sedar tanpa sumber pendapatan bagi menggantikan hasil minyak, ekonomi negara akan lumpuh dan rakyat akan menderita.

Sehingga ke hari ini, Pakatan Harapan masih belum dapat membuktikan di manakah keburukan GST.

Kalau benar GST buruk dan boleh membawa penderitaan kepada rakyat, kenapakah 160 buah negara lain turut me­laksanakan sistem cukai itu termasuklah negara maju seperti England, Perancis, Jerman dan Kanada?

Malah paling menarik, Arab Saudi, negara pengeluar minyak terbesar di dunia turut melaksanakan GST.

Jadi, agak keliru apabila Pakatan Harapan menyatakan salah satu agenda perhimpunan tersebut ialah melawan kezaliman. Soalnya, kezaliman apakah yang dimaksudkan?

Perhimpunan itu sekali lagi membuktikan DAP boleh merancang dan bertindak apa sahaja bagi menentukan hala tuju perjuangan Pakatan Harapan.

Parti-parti lain termasuklah PKR dan PPBM hanya menjadi ‘pak turut’ sahaja.

Rakyat khususnya orang Melayu tidak harus terpedaya dengan sandiwara terbaharu Pakatan Harapan tersebut.

Lagipun dalam beberapa isu termasuklah dalam soal rasuah, pemimpin-pemimpin pembangkang juga hanya pandai melaungkan sahaja melawan rasuah tetapi hakikatnya mereka sendiri yang terlibat.

Hakikatnya, siapa yang tidak sayangkan negara sendiri?

Semua pihak termasuk kerajaan pastinya akan melakukan yang terbaik untuk kemajuan tanah air tercinta ini.

Sudah 60 tahun kita mencapai kemerdekaan dan bebas daripada penjajah. Janganlah pula dibiarkan minda kita dijajah oleh perkara-perkara negatif yang bukan sahaja boleh merosakkan negara ini malah perpaduan rakyat pelbagai kaum.

Permainan Pakatan Harapan untuk memutar isu palsu semakin hampir ke noktahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here